AirAsia ulang kejayaan di Word Travel Awards Asia dan Australasia

050617.JPG

AirAsia merangkul anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Asia buat kali kelima berturut-turut dan memenangi anugerah Kru Kabin Terbaik Bagi Syarikat Penerbangan Tambang Rendah buat kali kedua

SEPANG, 5 Jun 2017 - AirAsia sekali lagi telah merangkul anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Asia buat kali kelima berturut-turut di World Travel Awards Asia dan Australasia 2017.

Anugerah tersebut, yang dipilih melalui undian oleh juri profesional dalam industri pelancongan serata dunia, mengiktiraf komitmen AirAsia dalam menyediakan perkhidmatan terbaik, mengatasi Air India Express, Firefly, GoAir, JetKonnect, JetStar Airways, Lucky Air, Nok Air, Scoot, SpiceJet dan West Air.

Syarikat penerbangan tambang rendah terbesar di Asia itu juga telah memenangi anugerah Kru Kabin Terbaik Bagi Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Asia, sekaligus menewaskan sembilan syarikat lain - Air India Express, Firefly, GoAir, JetKonnect, Jetstar Airways, Lucky Air, Nok Air, SpiceJet dan West Air.

Anugerah tersebut telah disampaikan pada majlis anugerah yang diadakan di Grand Kempinski Hotel di Shanghai, China.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, “Anugerah ini merupakan sebuah kemenangan yang istimewa kerana ia mengiktiraf usaha kami untuk menyediakan perkhidmatan terbaik, kerana itulah misi kami. Tahun ini, kami memberi tumpuan untuk menambah baik sistem daftar masuk bagi menjadikan keseluruhan proses itu lebih mudah. Kami juga ingin menjadikan RoKKi sebagai salah satu fokus utama untuk menyediakan pengalaman penerbangan yang lebih baik, selain hidangan Santan yang kini lebih enak. Kami teruja untuk membawa produk unik Asean ke seluruh Asia dan dunia."

Beliau menambah, "Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada barisan kru kabin kami yang amat istimewa. Kami teruja untuk menerima anugerah berprestij ini untuk kali kedua berturut-turut kerana semuanya adalah usaha para anak kapal yang bukan sahaja terbaik, malah istimewa, mesra, dan tulus."

Presiden AirAsia Asia Utara, Kathleen Tan pula berkata, “Kami amat berbesar hati untuk menerima dua anugerah ini sekali lagi. Selama 16 tahun, kami telah memberikan perhatian kepada tetamu kami dan terus fokus kepada visi kami dalam penerbangan kos rendah. Kami sentiasa memastikan bahawa perkhidmatan yang disediakan melambangkan layanan terbaik Asean. Terima kasih kepada juri yang telah menjadikan kami pilihan nombor satu di Asia selama lima tahun berturut-turut dan memberikan anugerah kedua bagi kru kabin kami. Tanpa sokongan daripada tetamu kami, semua ini tidak mungkin tercapai."

Anugerah World Travel Awards merupakan salah satu majlis paling berprestij, komprehensif dan popular bagi industri pelancongan global.

Ia ditubuhkan pada tahun 1993 untuk mengiktiraf, menganugerahkan dan meraikan kecemerlangan dalam sektor utama industri pelancongan serta perkhidmatan. Kini, jenama World Travel Awards diiktiraf di peringkat global sebagai anugerah utama bagi kecemerlangan industri.