AirAsia dinobatkan syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka dunia di Pusingan Akhir World Travel Awards 2018

Ketua Kru Kabin Kumpulan AirAsia Suhaila Hassan (tengah kiri) dan Ketua Komunikasi Kumpulan AirAsia Audrey Progastama Petriny (tengah) menerima anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka dan Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah …

Ketua Kru Kabin Kumpulan AirAsia Suhaila Hassan (tengah kiri) dan Ketua Komunikasi Kumpulan AirAsia Audrey Progastama Petriny (tengah) menerima anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka dan Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka daripada Presiden dan Pengasas World Travel Awards Graham Cooke (tengah kanan), bersama-sama kru kabin AirAsia.

LISBON, 2 Disember 2018 - AirAsia telah dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Dunia buat tahun keenam berturut-turut di Pusingan Akhir World Travel Awards (WTA) 2018.

AirAsia mengungguli kategori tersebut setelah menerima undian tertinggi daripada para pelancong dan pemain industri profesional dari seluruh dunia, menewaskan Southwest Airlines, JetBlue, Ryanair, easyJet, Jetstar Airways, Norwegian Air, West Air, flydubai, Air Arabia, flynas dan fastjet.

Syarikat penerbangan tersebut juga memenangi anugerah Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambah Rendah Terkemuka Dunia buat kali kedua berturut-turut, mengatasi Southwest Airlines, JetBlue, Ryanair, easyJet, Jetstar Airways, Norwegian Air, West Air, flydubai, Air Arabia, flynas, fastjet, Kulula dan Mango.

Ketua Kru Kabin Kumpulan AirAsia Suhaila Hassan dan Ketua Komunikasi Kumpulan AirAsia Audrey Progastama Petriny menerima anugerah tersebut bagi pihak syarikat di sebuah majlis di Pátio da Galé di sini semalam.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia (Syarikat Penerbangan) Bo Lingam berkata, “Terima kasih kepada semua yang mengundi kami. Sejak tahun lepas, kami telah berusaha keras untuk meningkatkan pengalaman para tetamu kami untuk menjadikan perjalanan lebih mudah dan menyeronokkan serta menawarkan perkhidmatan yang lebih peribadi, dan kami amat berbesar hati untuk melihat usaha kami dihargai.

“Selain inisiatif digital, seperti sistem pengecaman wajah Fast Airport Clearance Experience System (FACES) dan Program Freedom Flyer, kami juga mempunyai pasukan Kebahagiaan Pelanggan untuk meningkatkan keupayaan dalam perkhidmatan pelanggan kepada para tetamu kami, yang menginginkan perkhidmatan sokongan pelanggan yang cepat serta responsif dengan hanya menekan satu butang di mana sahaja, dan kami berusaha untuk menjadikannya satu kenyataan.

“Para tetamu tetap menjadi keutamaan kami walaupun kami kini berevolusi dari sebuah syarikat penerbangan ke sebuah syarikat teknologi perjalanan. Mereka adalah teras bagi segala yang kami lakukan, dan kami percaya pelbagai tawaran perjalanan dan gaya hidup yang kini sedang diusahakan seperti e-dagang, teknologi kewangan (fintech), dan logistik - akan meningkatkan pengalaman AirAsia secara keseluruhan kepada mereka.”

Ketua Kru Kabin Kumpulan AirAsia Suhaila Hassan berkata, “Saya telah bersama AirAsia selama 22 tahun. Saya menyertainya sebagai salah seorang kru kabin yang pertama, sebelum Tony dan Datuk Kamarudin membeli syarikat penerbangan itu. Di awal perkhidmatan, kami merupakan sebuah syarikat yang kecil, dengan hanya 30 orang kru kabin dan dua buah pesawat yang mengendalikan laluan domestik di Malaysia. Sejak itu, syarikat ini telah berkembang, dan begitu juga dengan keluarga kami. Kami kini mempunyai lebih daripada 5,900 kru kabin dari seluruh dunia, termasuk Australia, Brazil, Zambia dan Amerika Syarikat.

“Perjalanan syarikat ini benar-benar mengagumkan, tetapi apa yang luar biasa adalah apabila rakan-rakan Allstar saya masih mengekalkan semangat yang sama untuk memberikan perkhidmatan terbaik seperti dahulu, dan kami amat teruja serta merasa rendah diri kerana para tetamu dan rakan-rakan kami turut berkongsi perasaan yang sama. Terima kasih semua.”

World Travel Awards merupakan salah satu anugerah yang paling berprestij, komprehensif dan diingini oleh industri global dan pelancongan. Ditubuhkan pada tahun 1993 untuk mengiktiraf, memberi ganjaran dan meraikan kecemerlangan dalam semua sektor industri perjalanan, pelancongan dan hospitaliti, jenama World Travel Awards kini diiktiraf di peringkat global sebagai anugerah utama bagi kecemerlangan industri.

Malaysia, News, EnglishM A