AirAsia Jalin Kerjasama dengan Lembaga Pelancongan Sarawak untuk Festival Borneo Jazz dan Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia

SEPANG, 23 April 2018 - AirAsia jalin kerjasama dengan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) sebagai salah satu rakan syarikat penerbangan untuk Festival Borneo Jazz di Miri dari 11 hingga 13 Mei 2018 dan Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) di Kuching dari 13 hingga 15 Julai 2018.

Kerjasama ini adalah selaras dengan usaha berterusan kami untuk meningkatkan pengunjung ke Sarawak dengan mempromosikannya ke 23 negara yang kami beroperasi, bukan sahaja untuk menonjolkan festival tersebut malah memaparkan pelbagai identiti kebudayaan, tradisi tersendiri dan keunikan ekopelancongan di Sarawak.

Spencer Lee, Ketua Komersial AirAsia Malaysia berkata, “Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Lembaga Pelancongan Sarawak sebagai salah satu rakan syarikat penerbangan untuk kedua-dua festival bertaraf antarabangsa tersebut dan mengukuhkan lagi komitmen kami di Sarawak. Pada tahun lepas, kami telah menerbangkan kira-kira 4.3 juta orang tetamu ke Sarawak, dan kami berharap kerjasama ini akan menggalakkan lebih ramai pelancong ke negeri itu - selain ribuan pelancong yang bakal menghadiri festival tersebut, serta menyumbang kepada 5.25 juta sasaran pelancong ke Sarawak pada tahun 2018.”

Mary Wan Mering, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak berkata, “Lembaga Pelancongan Sarawak amat teruja untuk bekerjasama dengan AirAsia, yang mana laluannya ke dan dalam Sarawak telah meningkatkan industri pelancongan kami, kerana ia memudahkan para pelancong untuk melawat negeri ini dan pelbagai tarikannya. Ini juga terbukti pada musim kedua-dua festival ini. Pada tahun lepas, Sarawak mengalu-alukan ketibaan 4.43 juta orang pelancong; 421,513 daripadanya tiba di bulan Festival Borneo Jazz dan 406,359 daripadanya tiba semasa Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia. Pada tahun ini, Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia mensasarkan seramai 20,000 orang pengunjung, dan kami berharap untuk mencapai matlamat ini dengan kerjasama AirAsia.”

Untuk meraikan kerjasama ini, AirAsia menawarkan tambang termasuk semua dari RM79* sehala dari Kuala Lumpur ke Miri dan dari RM129* sehala dari Pulau Pinang, Melbourne, Hong Kong dan lain-lain ke Miri melalui penerbangan Fly-Thru. Tawaran ini boleh didapati di airasia.com dan aplikasi mudah alih kami bermula sekarang hingga 30 April 2018 untuk tempoh perjalanan segera hingga 30 September 2018. AirAsia RedTix juga merupakan rakan rasmi bagi Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia pada tahun ini dan para pengunjung boleh mendapatkan tiket mereka di airasiaredtix.com.

Miri mempunyai pelbagai taman dalam bandar dan menawarkan empat taman negara, di mana tarikan hutan hujan, gua, air terjun dan puncak batu kapur akan menjadikan pengalaman ekopelancongan lebih menarik. Lawati Grand Old Lady, pelantar gerudi minyak darat pertama di Malaysia dan Muzium Petroleum, yang mempunyai pelbagai maklumat mengenai industri minyak dan gas. Kemudian, singgahlah ke Taman Negara Niah yang mempunyai Gua Besar yang terkenal dengan puluhan ribu kelawar dan burung Walet - taman ini juga mempunyai lukisan gua dan beberapa peninggalan yang penting di Asia Tenggara. Di samping itu, pencinta laut akan teruja melihat pelbagai jenis hidupan dan tumbuhan laut yang berwarna-warni ketika menyelam di Miri.

Kami kini terbang ke lima destinasi dari Miri dengan sejumlah 86 penerbangan mingguan sehala ke Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Johor Bahru, Kuching dan Singapura. Kami juga terbang ke 12 destinasi dari Kuching dengan jumlah 257 penerbangan mingguan sehala ke Shenzhen, Singapura, Pontianak, Miri, Sibu, Bintulu, Kota Kinabalu, Johor Bahru, Kota Bharu, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Langkawi.

Festival Borneo Jazz dan Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia adalah festival muzik utama di Sarawak, yang membawa ribuan pengunjung tempatan dan antarabangsa pada setiap tahun. Untuk mengetahui festival dan acara lain di Sarawak, layari www.sarawaktourism.com.

Untuk promosi dan aktiviti terkini AirAsia, sila ikuti AirAsia di Twitter (twitter.com/AirAsia) dan Facebook (facebook.com/AirAsia).

*Promosi tambang termasuk semua yang tercatat adalah untuk perjalanan sehala sahaja termasuk cukai. Tertakluk kepada terma dan syarat.