AirAsia akan mula mengutip kenaikan Caj Perkhidmatan Penumpang yang dituntut oleh MAHB sebagai bantahan
SEPANG, 8 Ogos 2019 - AirAsia akan mengutip kenaikan Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) klia2 yang dikenakan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi tempahan penerbangan dibuat bermula daripada tengah malam ini dalam bantahan berikutan keputusan mahkamah baru-baru ini.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini yang menolak permohonan AirAsia Berhad dan AirAsia X Berhad untuk membatalkan tuntutan berkaitan tunggakan bayaran Caj Perkhidmatan Penumpang kepada anak syarikat MAHB, Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MASSB).
Caj Perkhidmatan Penumpang, dikenali juga sebagai cukai lapangan terbang, adalah caj yang dikenakan oleh MAHB kepada para penumpang yang berlepas menggunakan kemudahan lapangan terbang. Ia dikutip oleh syarikat penerbangan seperti AirAsia bagi pihak pengendali lapangan terbang.
MAHB telah mengenakan Caj Perkhidmatan Penumpang baharu sebanyak RM73 kepada para penumpang yang mengunakan klia2 ke destinasi-destinasi di luar Asean sejak Julai 2018. Ia merupakan kadar yang sama dikenakan untuk terminal perkhidmatan penuh KLIA. Kadar ini lebih tinggi daripada kadar yang terdahulu iaitu RM50, dan AirAsia enggan mengutip jumlah tambahan sebanyak RM23 daripada para penumpang untuk memastikan perjalanan udara kekal berpatutan untuk semua.
AirAsia kini akan mula mengutip kadar tambahan RM23 bagi Caj Perkhidmatan Penumpang, dan perbezaan jumlah tersebut akan dipaparkan secara jelas dalam jumlah tambang sebagai “Caj Perkhidmatan Penumpang (Dalam Bantahan).”
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat berkata, “Kami akan mengutip jumlah Caj Perkhidmatan Penumpang penuh berjumlah RM73 tetapi kami membuatnya sebagai satu bentuk bantahan. Kami akan memaparkan tambahan PSC sebanyak RM23 ini sebagai satu item khusus di dalam resit pembayaran agar 5.5 juta para tetamu kami yang berlepas dari klia2 untuk ke destinasi-destinasi luar daripada Asean setiap tahun dapat menilai sendiri sama ada jumlah yang mereka bayar itu setimpal dengan kemudahan di klia2 yang berkualiti rendah. Saya percaya ramai akan bersetuju ianya tidak berbaloi untuk membayar caj yang sama bagi terminal tersebut berbanding KLIA yang lebih mewah dan selesa.”
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia Benyamin Ismail berkata, “Kami sesungguhnya keberatan untuk mengutip kenaikan cukai ini, dan kami bersimpati terhadap para tetamu kami. Caj Perkhidmatan Penumpang bagi penerbangan ke destinasi di luar Asean telah naik lebih dua kali ganda dalam masa kurang dua tahun daripada RM32 pada 2016 kepada RM73 mulai tahun lepas. Ini kenaikan yang melampau dan kami akan terus membantah menerusi semua saluran undang-undang. Walau bagaimanapun, kami terpaksa mengutip tambahan sebanyak RM23 kerana kami tidak mampu untuk terus memberi subsidi kepada para tetamu kami sekiranya rayuan kami akhirnya tetap tidak diterima di mahkamah. Kami harap para tetamu kami dapat memahami situasi ini.”