AirAsia terima pengiktirafan global untuk inovasi digital di FTE World Ancillary Awards 2022
KUALA LUMPUR, 9 Jun 2022 - AirAsia menerima pengiktirafan global di atas usaha rintisnya dalam kemajuan digital di FTE (Future Travel Experience) World Ancillary Award di Dublin, hari ini.
Diadakan di pameran Future Travel Experience EMEA/Ancillary, anugerah itu mengiktiraf AirAsia sebagai syarikat penerbangan perintis yang telah memanfaatkan kemajuan digital untuk mencipta aliran pendapatan sampingan baharu sepanjang perjalanan perkhidmatannya – daripada tempahan, daftar masuk dan pengalaman di lapangan terbang, sewaktu di atas kapal terbang, dan sehingga ketibaan para penumpang di destinasi terakhir mereka. AirAsia dipilih daripada senarai 15 finalis yang terdiri daripada syarikat penerbangan dari seluruh dunia.
Bo Lingam, Presiden (Penerbangan) Capital A berkata, “Syarikat penerbangan telah melalui masa yang sukar sepanjang dua tahun yang lalu yang mana kami terpaksa menghadapi sekatan perjalanan akibat pandemik di seluruh dunia. Sepanjang tempoh ‘rehat’ itu, kami di AirAsia mengambil peluang untuk meningkatkan transformasi digital kami yang telah bermula dengan baik pada sebelum pandemik dan seterusnya melancarkan Super App yang telah ditambah baik serta dipertingkatkan keupayaannya.
“Jika sebelumnya para tetamu hanya boleh menggunakan Super App untuk perkara asas seperti membuat tempahan penerbangan dan penginapan, mereka kini boleh melakukan daftar masuk secara kendiri melalui Super App dengan ciri pengecaman muka untuk membolehkan perjalanan dapat dilakukan dengan lancar serta tanpa sentuhan sepenuhnya. Super App membolehkan para tetamu untuk membuat tempahan merentasi pelan perjalanan mereka termasuk tempahan penerbangan dari AirAsia serta syarikat penerbangan lain, hotel, perkhidmatan e-panggilan dan khidmat angkut lapangan terbang, makanan dalam penerbangan, beli-belah bebas cukai, Wi-Fi dalam penerbangan serta kandungan media digital sepanjang perjalanan mereka – sebelum, semasa dan selepas penerbangan mereka.
“Kami telah mentransformasikan perkhidmatan kami sepenuhnya sebagai sebuah Agensi Pelancongan Atas Talian (OTA) dengan mengintegrasikan pelbagai penyelesaian teknologi perjalanan ke dalam aplikasi kami bagi membolehkan para tetamu untuk membuat tempahan penerbangan daripada lebih 700 syarikat penerbangan selain penerbangan AirAsia. Kami amat gembira kerana usaha digital kami telah mendapat pengiktirafan daripada rakan sejawat industri kami dan kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah mengundi kami. Kami akan terus meneroka lebih banyak peluang digital dan kami menghargai kesetiaan anda bersama kami.”
Daniel Coleman, Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif, Future Travel Experience, mengulas: “Para hakim kami sebulat suara dalam memilih AirAsia sebagai pemenang FTE World Ancillary Award, kerana syarikat penerbangan itu amat cemerlang dalam memacu pendapatan sampingan pada setiap titik perjalanan penumpang mereka. Pertama sekali, AirAsia telah mencapai kejayaan yang amat membanggakan sejak beberapa tahun ini dan kini mereka sedang beralih untuk menjadi sebuah syarikat pelancongan dan gaya hidup digital lengkap dengan lebih 20 produk dan perkhidmatan pada aplikasinya, termasuk penerbangan, hotel, makanan, perkhidmatan runcit, penghantaran, panggilan perjalanan dan banyak lagi. Kami teruja untuk melihat perkembangan yang lebih baik untuk AirAsia.”
Pertunjukan mega FTE Dublin telah menarik lebih 800 eksekutif kanan pengangkutan udara dan sektor pengembaraan dari seluruh dunia, yang diilhamkan oleh pendekatan digital, pengalaman pelanggan, mobiliti masa depan dan pendekatan komersial yang paling inovatif. Di bawah tema "Scaling Innovation", tiga acara yang diadakan secara lokasi bersama itu membawakan idea baharu yang berani, penyelesaian, usaha sama dan inovasi untuk memastikan para pemain industri mencapai pemulihan dalam menjadikan pengangkutan udara lebih kukuh untuk jangka masa panjang.