Qurban Perdana ikhlas.com 2024 lepasi sasaran, beri manfaat kepada 120,000 penerima

KUALA LUMPUR, 17 Jun 2024 – Program Qurban Perdana 2024 anjuran Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) berjaya melepasi sasaran dengan agihan hampir 30,000 kilogram daging korban segar kepada kira-kira 120,000 penerima di dalam dan luar negara sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Program tahunan kelolaan IKHLAS Qurban, salah satu perkhidmatan berlandaskan gaya hidup Islam yang ditawarkan oleh platform sehenti ikhlas.com itu turut menerima permintaan tinggi terhadap lembu sado seberat antara 800 hingga 1,200 kilogram seekor untuk ibadah korban tahun ini dengan keseluruhan tempahan sebanyak lapan ekor berbanding lima ekor pada tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata, “Lembu sado masih menjadi pilihan ramai disebabkan saiznya yang besar, dagingnya yang berkualiti tinggi dan boleh dimanfaatkan oleh lebih ramai penerima berbanding lembu biasa.”

“IKHLAS Qurban berhasrat untuk meningkatkan lagi sasaran dengan sekurang-kurangnya satu ekor lembu sado di setiap negeri dan memperluaskan program tahunan kami kepada Qurban Perdana Peringkat Nasional pada musim yang akan datang.”

Qurban Perdana ikhlas.com 2024 berlangsung di tujuh lokasi termasuk Kem Tun Ibrahim, Kajang dengan usahasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang melibatkan seramai 500 anggota Batalion Rejimen Ke-31 Artileri Diraja selain Masjid Ibnu Mas'ud, Jalan Damai Kuala Lumpur; Masjid Meranti, Puchong Selangor dan Masjid Jamek Tan Sri Jalil Hassan, Pasir Gudang Johor dengan usahasama Halo Telco pada hari raya pertama.

Pada hari raya kedua pula, program diteruskan dengan penampilan khas personaliti media sosial terkenal, CEO Batu dan CEO Bieziy menyantuni seramai 800 asnaf yang turut menerima sumbangan beras, bakul makanan dan hidangan istimewa dari daging korban segar hasil sumbangan Kelab Kebajikan Maaidah Alrahman, Selangor (Al Aman) dan kariah Masjid At-Taqwa Kampung Melayu Subang.

Seterusnya pada hari raya ketiga, Penasihat Komersial ikhlas.com, Datuk Rosyam Nor pula membuat kemunculan khas pada Qurban Perdana 2024 dengan menyantuni warga Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Petaling Jaya. 

Pada hari yang sama, sebanyak 800 kilogram hasil ibadah korban dua ekor lembu sado sumbangan Mahsuri Dagang Sdn Bhd dan Persatuan Bantuan Masyarakat Sabah diagihkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan golongan asnaf di Pulau Redang.

Dilancarkan sewaktu pandemik pada Oktober 2020, ikhlas.com merupakan platform kembara dan gaya hidup Muslim direka khusus untuk membantu umat Islam melaksanakan tanggungjawab mereka dengan mudah. Selain IKHLAS Umrah dan tawaran pelancongan mesra Muslim dengan usahasama syarikat penerbangan subsidiari, AirAsia X, ikhlas.com turut memudahkan umat Islam melaksanakan ibadah Zakat, Sadaqah, Aqiqah, Fidyah dan Qurban.

Untuk maklumat lanjut, layari ikhlas.com atau muat turun aplikasi mudah alih menerusi Apple App Store dan Google Play Store.