AirAsia terus meneraju perkhidmatan penerbangan tambang rendah dengan kemenangan di World Travel Awards Asia
Syarikat penerbangan itu diiktiraf sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia untuk tahun kesembilan berturut-turut dan Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia selama lapan tahun berturut-turut
Keterangan Gambar (Tengah): Ricky Isla, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Phillipines merangkul anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia 2024 dan Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia 2024 di Anugerah World Travel Awards Asia dan Oceania 2024 di Manila pada 3 September 2024 .
SEPANG, 4 September 2024 - AirAsia meraikan kemenangan berganda pada majlis anugerah World Travel Awards Asia dan Oceania 2024 di Manila malam tadi sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia untuk tahun kesembilan berturut-turut dan Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia untuk tahun kelapan secara berterusan.
AirAsia meraih anugerah dalam dua kategori utama ini menerusi undian oleh pengguna, pemain industri dan pengembara profesional di seluruh rantau ini.
Dengan legasi selama 23 tahun beroperasi dari hab transformatifnya di Asia, AirAsia terus meningkatkan pengalaman para tetamu sambil mengekalkan komitmennya terhadap perjalanan tambang rendah. Melalui penambahbaikan berterusan dalam proses tempahan, perjalanan, dan perkhidmatan sampingan yang inovatif, AirAsia terus menawarkan nilai dan kualiti di seluruh perkhidmatannya. Pengaktifan semula dan pertumbuhan pesawatnya bukan sahaja akan menyokong pengembangan syarikat penerbangan itu ke destinasi baharu malah membolehkan pengenalan laluan merentasi benua berbeza, sambil kekal dengan model tambang rendahnya.
Bo Lingam, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Aviation Group berkata: “Kami berbesar hati kerana diiktiraf oleh para pengundi yang telah membawa kepada kemenangan berturut-turut di anugerah World Tracvel Awards. Ini membuktikan bahawa para tetamu berpuas hati dengan perkhidmatan kami. Setelah menerbangkan lebih 800 juta tetamu sejak hari pertama, kami akan terus berinovasi dan meningkatkan lagi mutu perkhidmatan yang ditawarkan.
“Pada tahun 2024, kami menjangka akan mengendalikan sebanyak 440,000 penerbangan. Momentum yang semakin meningkat dengan pesawat dan laluan baharu disertai dengan tumpuan kepada daya tahan operasi dan pengalaman pelanggan telah memastikan perkhidmatan kami terus teguh dalam pada operasi penerbangan berkembang lebih daripada enam kali ganda sejak tahun 2021. Pada masa hadapan, kami berusaha untuk menghubungkan lebih banyak benua dan menawarkan lebih banyak pilihan, nilai dan perkhidmatan kepada tetamu, berikutan tahap kemampanan yang lebih tinggi dalam operasi kami.
“Kami berterima kasih kepada penganjur World Travel Awards, rakan kongsi industri dan yang paling penting kepada para tetamu atas kepercayaan dan pengiktirafan mereka. Anugerah ini adalah bukti kerja keras lebih 21,000 Allstars kami yang menjadikan para tetamu sebagai teras utama dalam segala yang kami lakukan dan berusaha untuk terus melakukan yang terbaik.”
Suhaila Hassan, Ketua Kru Kabin AirAsia Aviation Group berkata: “Fokus kami pada kecemerlangan operasi melalui model tambang rendah membolehkan kami memberikan nilai hebat sambil terus meningkatkan kualiti perkhidmatan dalam penerbangan. Dengan lebih 5,000 kru kabin yang menjadi duta utama pengalaman dalam penerbangan untuk jutaan tetamu pada setiap tahun, pengiktirafan sebagai yang terbaik di Asia selama lapan tahun berturut-turut menyerlahkan semangat kru kabin kami dan memberi inspirasi untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan kami.”
Graham Cooke, Pengasas dan Presiden World Travel Awards berkata: “AirAsia terus mendominasi anugerah untuk perkhidmatan tambang rendah yang luar biasa. Tahniah kepada AirAsia kerana sekali lagi merangkul dua kategori utama di seluruh Asia dan Asia Pasifik. Kami pasti AirAsia akan terus melonjak ke tahap baharu pada tahun-tahun akan datang.”
AirAsia juga telah diiktiraf pada tahun 2024 sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia selama 15 tahun berturut-turut, dan diiktiraf antara syarikat penerbangan tambang rendah paling selamat di dunia. Selaras dengan usaha kemampanannya yang berterusan termasuk program kecekapan bahan api peneraju industri, AirAsia telah diiktiraf dengan anugerah Emas dalam kategori Kemampanan Alam Sekitar oleh Pusat Penerbangan dalam Laporan Penanda Aras Kemampanan Syarikat Penerbangan Global CAPA-Envest 2023.