Usahasama ikhlas.com, institusi zakat penuhi keperluan jemaah Umrah 1,000 Asnaf
Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) meneruskan siri usahasama strategik bersama institusi zakat negeri bagi menyediakan tajaan yang lebih menyeluruh kepada para jemaah asnaf fakir dan miskin terpilih menerusi kempen Umrah 1,000 Asnaf.
Inisiatif ikhlas.com dengan misi menaja seramai 1,000 individu asnaf fakir dan miskin untuk melaksanakan ibadah umrah dan mendapat sokongan data asnaf daripada badan-badan zakat di seluruh negara bagi melengkapkan lagi keperluan mereka sebelum berangkat ke tanah suci termasuk penyediaan dokumen perjalanan, suntikan vaksinasi, kelengkapan umrah dan lain-lain.
Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata: “Kami amat berbesar hati dengan sokongan padu badan-badan zakat negeri dalam merealisasikan impian golongan asnaf fakir dan miskin untuk menunaikan umrah. Usaha ini sejajar dengan misi kami untuk memperluas impak sosial melalui kewangan Islam berteraskan teknologi.”
Kempen Umrah 1,000 Asnaf yang dilancarkan pada 19 Mac 2025 merupakan misi mengenal pasti dan memberi tajaan pakej umrah kepada golongan asnaf fakir dan miskin terpilih berdasarkan kriteria kelayakan tertentu.
Ikhlas berkata: “Melalui kerjasama strategik seperti ini, kami ingin menunjukkan bagaimana teknologi boleh menjadi pemangkin kepada impak sosial yang lebih besar bagi memudahkan urusan kebajikan dan memperluas capaian manfaat kepada komuniti asnaf di seluruh negara.”
Dilancarkan pada kemuncak pandemik pada Oktober 2020, ikhlas.com merupakan platform gaya hidup dan pelancongan Islam digital di bawah Capital A Berhad, yang berfungsi sebagai saluran bagi umat Islam menunaikan kewajipan mereka dengan mudah. Selain perkhidmatan umrah dan kembara mesra Muslim melalui kerjasama dengan syarikat penerbangan subsidiari, AirAsia, ikhlas.com turut menawarkan perkhidmatan Zakat, Sadaqah, Aqiqah, Fidyah, Qurban dan lain-lain.
Untuk maklumat lanjut, layari ikhlas.com atau muat turun aplikasi mudah alih melalui Apple App Store dan Google Play Store.