ikhlas.com, PPZ-MAIWP gesa sektor korporat laksana ‘Audit Keberkatan’ demi kelestarian ekonomi ummah
KUALA LUMPUR, 24 Disember 2025 - Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) dan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menganjurkan forum ilmiah bagi menekankan kepentingan keberkatan dalam pengurusan harta dan perniagaan Islam sebagai asas kepada kelestarian ekonomi ummah.
Forum bertajuk Audit Keberkatan: Zakat Berintegriti, Perniagaan Berjaya itu menampilkan tokoh korporat, Dato’ Mohammed Hussein, serta pendakwah terkemuka, Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al Hamid, yang membincangkan cabaran dan solusi tadbir urus berteraskan nilai syariah dalam pengurusan syarikat berskala besar.
Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata: “Forum ini bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pemimpin korporat dan pengurus organisasi bahawa zakat, amanah dan keberkatan perlu menjadi sebahagian daripada kerangka tadbir urus syarikat. Kami percaya pendekatan berteraskan nilai Islam mampu membentuk perniagaan yang lebih lestari dan berimpak sosial tinggi.”
Mohammed Hussein berkata: “Cabaran terbesar seorang Muslim dalam dunia korporat ialah memastikan setiap keputusan perniagaan bukan sahaja efisien dari sudut operasi, tetapi juga adil, amanah dan memelihara prinsip syariah. Keberkatan bukan penghalang kepada keuntungan, malah ia menjadikan perniagaan lebih lestari dan dipercayai.”
Habib Ali Zaenal Abidin berkata: “Harta yang berkat ialah harta yang halal sumbernya, baik pengurusannya dan memberi manfaat berpanjangan. Kekayaan boleh menjadi jalan ke syurga apabila ia dimanfaatkan untuk pembangunan ummah.”
Beliau turut mengingatkan para pemilik syarikat dan pengurus agar sentiasa berlaku adil dalam memimpin kakitangan kerana setiap insan yang diurus adalah amanah Allah. Keadilan dan ihsan dalam kepimpinan menjadi asas utama kepada keberkatan sesebuah organisasi.
Setakat ini, ikhlas.com berjaya mencatatkan kutipan zakat lebih RM50 juta dan kini merupakan ejen amil yang dilantik oleh 11 institusi zakat di seluruh negara termasuk Wilayah Persekutuan, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Johor, Perlis, Terengganu dan Sabah.
Perkhidmatan ikhlas.com dalam pengurusan zakat turut menerima pengiktirafan industri menerusi Anugerah Prestasi Komitmen & Pengurusan Terbaik 2023 – Ejen Perunding dan Anugerah Prestasi Kutipan Tertinggi 2024 – Ejen Perunding oleh Lembaga Zakat Selangor.
Dilancarkan pada kemuncak pandemik pada Oktober 2020, ikhlas.com merupakan platform gaya hidup dan pelancongan Islam digital di bawah Capital A Berhad, yang berfungsi sebagai saluran bagi umat Islam menunaikan kewajipan mereka dengan mudah. Selain perkhidmatan umrah dan kembara mesra Muslim melalui kerjasama dengan syarikat penerbangan subsidiari, AirAsia, ikhlas.com turut menawarkan perkhidmatan Zakat, Sadaqah, Aqiqah, Fidyah, Qurban dan lain-lain. Untuk maklumat lanjut, layari ikhlas.com atau muat turun aplikasi mudah alih melalui Apple App Store dan Google Play Store.