ikhlas.com perkenal dimensi baru dalam kembara mesra-Muslim
KUALA LUMPUR, 29 Julai 2024 – Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) memperkenalkan lembaran baharu yang mengubah cara pelancongan dirancang dan dihayati. Dalam majlis pelancaran eksklusif untuk wartawan, editor, pencipta kandungan dan penulis kembara, ikhlas.com Travel menampilkan pendekatan kembara terkini yang dirangka khas bagi memenuhi keperluan dan gaya hidup pengembara Muslim moden.
Berteraskan nilai-nilai mampu milik, keterangkuman dan keselesaan, ikhlas.com Travel menawarkan pakej pelancongan yang dikurasi khas, mekanisme tempahan yang mudah, serta itinerari mesra Muslim yang menyeluruh — melangkaui laluan pelancongan biasa. Dari penginapan dan sajian tempatan yang diperakui halal atau mesra Muslim, hinggalah hentian solat selesa dan pengalaman budaya yang mendalam, platform ini bakal merombak cara umat Islam meneroka dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata: “Pelancongan kini bukan sekadar tentang destinasi — ia tentang perhubungan, muhasabah diri agar kita pulang dengan lebih baik. Di ikhlas.com, khidmat pelancongan kami menawarkan pengalaman yang tidak dapat dilupakan dengan nilai terbaik dari segi keselesaan, kemudahan dan ketenangan sebagai umat Islam.”
“Apa yang membezakan kami adalah ketelitian di sebalik setiap destinasi. Semua pakej direka dan diperhalusi oleh pakar pelancongan yang sering menerokai destinasi tersebut. Pemandu pelancong kami fasih berbahasa tempatan, tahu lokasi istimewa dengan pengalaman unik — dari kafe tular dan pasar barangan terpakai sehinggalah hentian halal yang dipilih khas, lazimnya tidak dimasukkan dalam itinerari biasa.”
Pakej berkumpulan dihadkan dalam kumpulan kecil demi keselesaan dan pengalaman yang lebih peribadi, dengan perhatian khusus diberikan kepada warga emas dan keluarga yang membawa anak kecil. Keperluan solat turut diutamakan di antara aktiviti, lengkap dengan kemudahan bersolat yang bersesuaian. Semua hidangan pula sama ada diperakui halal, mesra Muslim atau vegetarian — disemak dan disahkan terlebih dahulu oleh pakar ikhlas.com Travel.
Tambah Ikhlas: “Tempahan dilakukan secara online tanpa perlu hadir ke pejabat. Anda boleh berunding melalui mesej atau panggilan, sesuaikan itinerari, hantar dokumen secara digital dengan pembayaran fleksibel melalui pemindahan bank atau menebus mata ganjaran AirAsia Rewards. Kami turut berbesar hati mengumumkan bahawa ciri terbaru ‘Travel Guide’ interaktif akan dilancarkan tidak lama lagi di aplikasi ikhlas.com, yang memberikan maklumat tempatan, tip makanan halal, keadaan cuaca terkini, kadar pertukaran mata wang dan artikel yang dikarang khusus untuk setiap destinasi.”
Sebelum berlepas, tetamu akan diberi taklimat pra-perjalanan digital lengkap termasuk senarai semak barang untuk dibawa, tempat menarik mesra Muslim, panduan solat, ringkasan itinerari dan cadangan navigasi bandar sewaktu aktiviti bebas. Kandungan blog terperinci turut disediakan, merangkumi sorotan destinasi, ulasan makanan halal dan pecahan harga bagi aktiviti pilihan agar semua dapat meneroka mengikut keselesaan sendiri.
“Walaupun kami menyasarkan pengembara digital, ikhlas.com Travel bersedia membantu mereka yang lebih selesa dengan urusan secara manual. Kami bersama anda di setiap langkah, dari sebelum berlepas (urusan lapangan terbang, daftar masuk penerbangan dan penginapan) hinggalah ke segala keperluan perjalanan anda.”
Sempena pelancaran semula ikhlas.com Travel, ikhlas.com menurunkan lagi harga bagi pakej-pakej mesra bajetnya dengan promosi menarik termasuk Beli 1, Percuma 1 bagi percutian peribadi dalam rantau Asia Tenggara atau diskaun RM1,000 untuk tempahan 2 orang ke destinasi luar Asia Tenggara. Pengembara juga boleh menikmati diskaun sehingga RM2,000 untuk tempahan berkumpulan seramai 4 orang ke destinasi popular seperti Jepun, Korea Selatan dan Kazakhstan!
Dilancarkan semasa pandemik pada Oktober 2020, ikhlas.com merupakan platform gaya hidup dan kembara mesra Muslim yang direka khas bagi membantu umat Islam menunaikan tuntutan agama dengan mudah. Selain ikhlas.com Umrah dan Travel (perjalanan mesra Muslim) dengan kerjasama anak syarikat penerbangan AirAsia, ikhlas.com juga memudahkan pelaksanaan Zakat, Sadaqah, Aqiqah, Fidyah, Qurban dan banyak lagi. Untuk maklumat lanjut, layari ikhlas.com atau muat turun aplikasi aplikasi mudah alih menerusi Apple App Store dan Google Play Store.