AirAsia Malaysia (AK) peroleh kelulusan Sijil Pengendali Udara (AOC) tiga tahun untuk kali kedua berturut-turut daripada CAAM, sehingga 2029
Pembaharuan AOC selama tiga tahun untuk kali kedua berturut-turut mengukuhkan komitmen berterusan AK dalam mematuhi serta melangkaui piawaian kawal selia yang ketat
Pembaharuan AOC ini mencatatkan satu lagi pencapaian penting bagi AirAsia dalam tahun yang penuh bermakna, susulan kejayaan meraih gelaran World’s Best Low-Cost Airline oleh Skytrax untuk kali ke-17 berturut-turut
SEPANG, 21 September 2026 – AirAsia Malaysia (kod syarikat penerbangan AK) telah menerima kelulusan pembaharuan Sijil Pengendali Udara (AOC) daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), dengan sijil tersebut sah sehingga 30 September 2029.
Pembaharuan ini susulan penilaian kawal selia yang ketat oleh CAAM terhadap pematuhan berterusan AirAsia Malaysia terhadap keperluan operasi pengangkutan udara komersial, sekali gus mengukuhkan kedudukan syarikat penerbangan itu dalam rangka kerja kawal selia penerbangan Malaysia. Pembaharuan ini turut mencerminkan komitmen berterusan AirAsia Malaysia untuk mengekalkan piawaian operasi yang tinggi, seiring dengan usaha syarikat untuk terus mengembangkan serta mengoptimumkan armada dan rangkaiannya.
AirAsia Malaysia kekal sebagai perniagaan terbesar dan teras Kumpulan AirAsia, dengan penambahan pesawat dijangka ditempatkan di pasaran bagi memperkukuh lagi rangkaian domestik dan serantau, di samping menyokong peralihan kepada pesawat berbadan sempit yang lebih cekap. Dengan bahagian kapasiti sebanyak 61 peratus dalam pasaran domestik Malaysia dan menyumbang 34 peratus daripada keseluruhan penerbangan di KUL, AirAsia terus menjadi antara penyumbang utama kepada kesalinghubungan Kuala Lumpur. Berdasarkan OAG Megahubs Index 2026, KUL kekal sebagai hab tambang rendah paling terhubung di dunia, selain menduduki tempat keempat sebagai hab antarabangsa paling terhubung di dunia dan tempat pertama di Asia Pasifik.
Dato’ Captain Fareh Mazputra, Pengurus Besar AirAsia Malaysia, berkata: “Pembaharuan Sijil Pengendali Udara kami membuktikan komitmen berterusan kami untuk bukan sahaja memenuhi, malah melangkaui piawaian kawal selia, operasi dan keselamatan yang ditetapkan bagi syarikat penerbangan yang beroperasi di Malaysia. Melangkah ke hadapan, kami kekal fokus untuk beroperasi dengan selamat dan cekap, mengoptimumkan pesawat serta rangkaian kami, di samping terus menawarkan kesalinghubungan udara pada tambang berpatutan kepada jutaan pelancong di seluruh Malaysia dan rantau ini.”
Pembaharuan ini hadir ketika AirAsia meraikan satu lagi pencapaian penting, apabila syarikat penerbangan itu sekali lagi dinobatkan sebagai World’s Best Low-Cost Airline untuk tahun ke-17 berturut-turut oleh para pengembara di seluruh dunia pada Skytrax World Airline Awards 2026 yang berlangsung di London pada Jumaat lalu. Pengiktirafan terbaharu ini mengukuhkan lagi rekod kemenangan berturut-turut AirAsia dalam kategori tersebut, bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-25 AirAsia dalam menjadikan perjalanan udara lebih mudah diakses dan mampu milik.
Kini, AirAsia Malaysia mengendalikan 1,620 penerbangan setiap minggu ke 15 destinasi domestik dan 73 destinasi antarabangsa di 22 buah negara dengan memperkukuh hubungan perjalanan dari Malaysia ke pasaran utama di Asean, Asia, Australia dan destinasi lain di seluruh dunia.
Dengan pembaharuan AOC, rangkaian domestik dan antarabangsa yang luas serta pengiktirafan berterusan daripada para pengembara di seluruh dunia, AirAsia Malaysia terus komited untuk memperkukuh kesalinghubungan, menyokong pertumbuhan ekosistem penerbangan dan pelancongan Malaysia, serta menjadikan perjalanan udara lebih mudah diakses dan mampu milik kepada jutaan pengembara di Malaysia dan rantau ini.