AirAsia mantapkan perjalanan tanpa sentuh dengan sistem FACES yang dipertingkatkan di klia2
Inovasi baharu menjadikan penerbangan lebih lancar dan tanpa sentuhan selepas pandemik
SEPANG, 3 Oktober 2022 – AirAsia telah mempertingkatkan lagi sistem pengecaman wajah, FACES, dengan integrasi teknologi EzPaz oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2), menawarkan perjalanan tanpa sentuhan secara menyeluruh kepada para tetamu.
FACES kini tersedia di seluruh titik sentuhan utama termasuk pendaftaran dalam talian, kaunter daftar masuk, pra-keselamatan dan untuk menaiki pesawat, bagi perjalanan domestik terpilih dalam fasa permulaan. Para tetamu yang telah mendaftar untuk FACES melalui airasia Super App kini boleh melakukan perjalanan dengan lancar daripada ketibaan hingga ke pintu perlepasan di lapangan terbang tanpa perlu mengemukakan pas masuk mereka selepas mendaftar masuk kendiri.
Teknologi tanpa sentuhan yang dipertingkatkan ini mula tersedia pada hari ini dan tetamu yang menaiki pesawat AK5234 dari Kuala Lumpur ke Kuching berjaya melepasi semakan pra-keselamatan dan menaiki pesawat menggunakan identiti biometrik mereka.
Selain menjadikan perjalanan di lapangan terbang lebih lancar dengan pemeriksaan dokumen tanpa sentuh dan mengurangkan masa beratur, FACES juga meningkatkan operasi kecekapan dan keselamatan bagi syarikat penerbangan.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata: “Memandangkan kami kini kembali terbang tinggi, inilah masanya untuk AirAsia fokus kepada pelaksanaan inovasi digital bagi mengatasi kerumitan perjalanan udara serta menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih lancar dan cekap. Ia juga merupakan masa yang tepat untuk menggunakan sistem pengecaman wajah berikutan pengumuman kerajaan baru-baru ini bahawa pelitup muka tidak lagi diwajibkan di tempat awam dan dalam penerbangan.
“Sebagai prosedur digital dan tanpa sentuh, termasuk pendaftaran dalam talian di mana-mana, bila-bila masa dengan hanya satu klik, FACES adalah inovasi yang dipertingkatkan untuk membantu memulihkan keyakinan dalam perjalanan udara. Mulai hari ini, teknologi ini tersedia untuk penerbangan terpilih dari hab utama kami di klia2 sebagai permulaan, dan terdapat pelbagai peluang untuk kami mengembangkan FACES di titik sentuhan lain seperti daftar masuk beg kendiri di lapangan terbang, ciri pembayaran di airasia Super App dan banyak lagi di seluruh syarikat penerbangan dan perniagaan digital kami.
“Menawarkan lebih nilai, pilihan dan inovasi adalah DNA kami, dan kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Malaysia Airports bagi menjadikan lapangan terbang itu dilengkapi dengan teknologi masa hadapan sejajar dengan permintaan perjalanan udara yang kembali meningkat ke tahap pra-pandemik. Kami berharap dapat menggunakan teknologi FACES di setiap lapangan terbang yang kami beroperasi tidak lama lagi untuk menawarkan perjalanan dan penerbangan yang lebih mudah, cekap dan lancar berbanding sebelum ini.”
AirAsia menggalakkan semua tetamu mendaftar untuk FACES di airasia Super App. Daftar dengan mudah menggunakan pasport atau kad pengenalan, diikuti proses pengesahan sekali sahaja di kaunter lapangan terbang khusus iaitu W15 dan W16 di klia2. Sebagai alternatif, tetamu juga boleh mendaftar untuk FACES di kaunter yang sama. Untuk maklumat lanjut dan Soalan Lazim mengenai FACES, sila rujuk di sini.