AirAsia mula era baharu sebagai AirAsia Group Berhad, melangkah ke fasa seterusnya untuk menjadi syarikat penerbangan rangkaian tambang rendah pertama di dunia

KUALA LUMPUR, 9 Julai 2026 - AirAsia Group Berhad (“AirAsia Group” atau “Kumpulan”), sebelum ini dikenali sebagai AirAsia X Berhad, telah melengkapkan proses penukaran namanya kepada AirAsia Group Berhad selepas menerima kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-19 Syarikat yang telah diadakan pada 25 Jun 2026 serta pendaftaran nama baharu tersebut oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), berkuat kuasa pada 2 Julai 2026.

Lebih daripada sekadar penjenamaan semula korporat, AirAsia Group Berhad membuktikan sebuah kumpulan syarikat penerbangan yang lebih kukuh, bersepadu dan bersedia untuk memacu fasa pertumbuhan industri penerbangan seterusnya di seluruh Asia dan pasaran global. Penyatuan ini membawa AirAsia selangkah lebih hampir dalam merealisasikan aspirasinya untuk menjadi syarikat penerbangan rangkaian tambang rendah pertama di dunia dengan menggabungkan skala operasi dan kesalinghubungan rangkaian yang lebih luas bersama kemampuan menawarkan tambang berpatutan serta kapasiti yang menjadi identiti jenamanya. Langkah ini memperkukuh kedudukan Kumpulan untuk mengoptimumkan rangkaiannya, meningkatkan kecekapan operasi dan terus memperluas akses kepada perjalanan udara yang lebih mampu milik serta mudah diakses oleh jutaan tetamu.

Tan Sri Jamaludin Ibrahim, Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif AirAsia Group Berhad berkata, “Kelulusan pemegang saham terhadap pertukaran nama ini membuktikan keyakinan mereka terhadap visi serta hala tuju strategik yang sedang kami laksanakan sebagai sebuah kumpulan syarikat penerbangan yang lebih bersepadu. Langkah penting ini bukan sekadar melibatkan penjenamaan semula korporat, malah menandakan satu pencapaian penting dalam aspirasi kami untuk menjadi syarikat penerbangan rangkaian tambang rendah pertama di dunia dengan memanfaatkan kelebihan rangkaian dan keupayaan bersama bagi mengoptimumkan potensi penuh operasi penerbangan jarak dekat dan sederhana kami. Melalui penyatuan semua syarikat penerbangan di bawah AirAsia Group, kami berada pada kedudukan yang lebih kukuh untuk memperluas kesalinghubungan, menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih lancar serta mencipta nilai yang lebih besar kepada jutaan tetamu kami di seluruh rantau ini dan pasaran global.

“Dengan jumlah pesawat yang lebih besar, rangkaian laluan yang lebih meluas serta kesalinghubungan yang dipertingkatkan, kami berada pada kedudukan strategik untuk merebut peluang pertumbuhan baharu dan mencipta nilai lebih besar kepada para pemegang saham, pihak berkepentingan serta tetamu kami. Ketika industri pelancongan global terus beralih tumpuan ke arah Asia dan Asean, kami memasuki fasa baharu ini dengan asas yang kukuh serta keyakinan tinggi terhadap potensi pertumbuhan masa hadapan. Berteraskan semangat keusahawanan AirAsia, disokong oleh tadbir urus korporat yang teguh, pelaksanaan yang berdisiplin serta dedikasi berterusan seluruh Allstars kami, kami yakin untuk terus memperluas akses kepada perjalanan udara yang lebih mampu milik, memacu pertumbuhan mampan jangka panjang dan membangunkan sebuah kumpulan syarikat penerbangan bertaraf dunia yang bersedia menerajui masa depan industri penerbangan.”