AirAsia naik taraf sistem: Para tetamu dinasihatkan untuk daftar masuk kendiri sehingga 14 hari dan tiba lebih awal untuk perjalanan lebih lancar

SEPANG, 28 Jun 2024 - AirAsia akan menaik taraf sistem tempahan penerbangan dan sistem pemprosesan  tetamu bagi meningkatkan pengalaman perjalanan dan sistem tempahan penerbangan. Proses ini dijadualkan selama 8 jam dari jam 7:00 malam (GMT+8) pada 10 Julai 2024 hingga jam 3:00 pagi (GMT+8) pada 11 Julai 2024. Sepanjang tempoh ini, para tetamu dinasihatkan untuk mengikuti langkah-langkah berikut bagi melancarkan perjalanan:

  1. Daftar Masuk Kendiri 14 hari lebih awal: Para tetamu termasuk yang mempunyai tempahan berkumpulan dan penerbangan sambungan antara 10 dan 11 Julai 2024,  dinasihatkan untuk melakukan daftar masuk kendiri melalui aplikasi AirAsia MOVE (dahulu dikenali sebagai airasia Superapp) yang tersedia mulai sekarang atau 14 hari sebelum waktu perlepasan yang dijadualkan.

  2. Tiba awal di lapangan terbang: Para tetamu, termasuk yang mempunyai tempahan berkumpulan, kurang upaya dan keperluan khas digalakkan untuk tiba di lapangan terbang sekurang-kurangnya tiga (3) jam sebelum waktu perlepasan yang dijadualkan untuk melancarkan perjalanan. Kaunter dan kiosk daftar masuk, serta perkhidmatan daftar masuk bagasi kendiri di semua lapangan terbang di mana AirAsia beroperasi akan terjejas semasa tempoh ini.

  3. Guna Pas Masuk Elektronik: Muat turun pas masuk elektronik anda dari aplikasi AirAsia MOVE dan simpan secara digital di telefon bimbit anda tanpa perlu mencetak semula pas masuk fizikal di lapangan terbang.

  4. Kemaskini Butiran Perhubungan: Para tetamu yang akan melakukan perjalanan semasa tempoh naik taraf sistem ini akan dimaklumkan melalui e-mel dan SMS. Sila pastikan butiran perhubungan anda dikemaskini untuk menerima maklumat terkini mengenai status penerbangan anda.

Perkhidmatan tempahan penerbangan AirAsia, penukaran tempahan daftar masuk, tempahan Penerbangan dan Hotel, pengumpulan dan penebusan mata ganjaran AirAsia Rewards, pembayaran untuk tempahan sedia ada dan pembelian tambahan, termasuk beli-belah bebas cukai dalam talian tidak tersedia semasa tempoh naik taraf sistem ini.

Manakala perkhidmatan lain di aplikasi AirAsia MOVE  dan airasia.com, perkhidmatan yang tidak berkaitan dengan penerbangan AirAsia boleh diakses seperti sediakala.