AirAsia nasihatkan para tetamu untuk merancang perjalanan ke lapangan terbang lebih awal semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47
SEPANG, 24 Oktober 2025 – Sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan aktiviti-aktiviti berkaitan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengumumkan penutupan jalan secara berperingkat serta lencongan trafik ke dan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA T2) dari 26 hingga 28 Oktober 2025 dengan latihan percubaan dijadualkan dari 23 hingga 25 Oktober.
AirAsia menasihatkan para tetamu yang akan melakukan perjalanan ke dan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA T2) dalam tempoh tersebut supaya merancang perjalanan mereka lebih awal dan dinasihatkan untuk menggunakan perkhidmatan alternatif seperti Express Rail Link (KLIA Ekspres atau KLIA Transit).
Para tetamu dinasihatkan untuk merancang waktu perjalanan ke KLIA T2 bagi mengelakkan kemungkinan kelewatan lalu lintas ketara dan sekatan jalan dan tiba sekurang-kurangnya dua jam sebelum bagi penerbangan domestik serta tiga jam sebelum bagi penerbangan antarabangsa. Lebuhraya utama termasuk Lebuhraya KLIA, Lebuhraya ELITE (KLIA–Putrajaya), Lebuhraya MEX dan Lebuhraya KL–Seremban mungkin mengalami penutupan sementara serta lencongan bagi memberi laluan kepada pergerakan kenderaan rasmi.
Kaunter daftar masuk di KLIA T2 akan ditutup satu jam sebelum waktu berlepas yang dijadualkan. Para tetamu digalakkan untuk melengkapkan daftar masuk secara kendiri melalui aplikasi AirAsia MOVE, yang boleh dilakukan dari 14 hari sehingga satu jam sebelum waktu berlepas, serta menggunakan pas masuk elektronik yang diterima di semua lapangan terbang di Malaysia dan di banyak destinasi lain dalam rangkaian AirAsia.
Para tetamu boleh menyemak status penerbangan di airasia.com/flightstatus, serta mendapatkan maklumat perjalanan terkini dan maklumat penting melalui aplikasi AirAsia MOVE atau di airasia.com.