AirAsia perkenal ciri Pengesahan Visa Automatik untuk melancarkan proses daftar masuk dalam talian
SEPANG, 16 April 2025 - AirAsia telah memperkenalkan ciri Pengesahan Visa Automatik (AVC) baharu pada aplikasi AirAsia MOVE dan laman web airasia.com, bagi melancarkan proses daftar masuk dalam talian untuk laluan antarabangsa yang memerlukan visa dan Kebenaran Perjalanan Elektronik (ETA).
Inovasi ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan AirAsia dalam memudahkan perjalanan jutaan para tetamu di seluruh rantau ini dengan mengurangkan masa menunggu dan kesesakan di kaunter daftar masuk di lapangan terbang. Sebelum ini, para tetamu yang terbang ke negara yang memerlukan visa perlu mendaftar masuk atau mengesahkan semula visa mereka secara manual di lapangan terbang.
Dengan menggunakan inovasi ciri AVC ini, para tetamu kini boleh mengesahkan visa mereka dalam masa nyata ketika mendaftar masuk dalam talian di mana-mana, yang tersedia 14 hari sehingga satu (1) jam sebelum waktu perlepasan yang dijadualkan.
Cara penggunaan AVC untuk daftar masuk lebih mudah:
Guna aplikasi AirAsia MOVE atau layari airasia.com
Pilih penerbangan yang ingin didaftar masuk
Apabila mendapat arahan, sila muat naik visa
Dapatkan pas masuk elektronik setelah visa anda disahkan
Jika tidak, terus ke kaunter daftar masuk untuk pemeriksaan secara manual
Bagi tetamu yang hanya membawa bagasi kabin, mereka boleh terus ke pintu perlepasan dengan menggunakan pas masuk elektronik (jika berkenaan) atau cetak semula pas masuk di kiosk layan diri jika diperlukan. Para tetamu dengan bagasi daftar masuk pula boleh mencetak tag bagasi di kiosk layan diri dan menghantar bagasi di kaunter penghantaran bagasi kendiri dengan mudah.
Untuk maklumat lanjut mengenai keperluan perjalanan setiap negara, sila layari pautan ini.
*Pelepasan AVC hanya tersedia untuk kemasukan berulang kali. Tetamu dengan visa kemasukan tunggal atau dua kali kemasukan perlu daftar masuk di kaunter.