AirAsia raih anugerah peneraju syarikat penerbangan tambah rendah terkemuka dunia di World Travel Awards 2025
Mengiktiraf kecemerlangan syarikat penerbangan, rangkaian, dan kru kabin. AirAsia memenangi Anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Dunia dan Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Dunia, manakala AirAsia X dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Jarak Jauh Terkemuka Dunia
BAHRAIN, 7 Disember 2025 – Kumpulan syarikat penerbangan AirAsia meraih tiga kemenangan pada World Travel Awards (WTA) Grand Final 2025 di Bahrain, sekali gus memperkukuhkan kedudukannya sebagai salah satu jenama paling berpengaruh dan kukuh dalam industri penerbangan tambang rendah di peringkat global.
AirAsia sekali lagi dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Dunia, menandakan tahun ke-13 berturut-turut pencapaian di peringkat global manakala kru kabinnya terus diiktiraf sebagai Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Dunia buat kali kesembilan atas dedikasi mereka terhadap kecemerlangan perkhidmatan. AirAsia X (AAX) turut mengekalkan kemenangannya sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Jarak Jauh Terkemuka Dunia untuk tahun ketiga berturut-turut, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam mentakrifkan semula perjalanan jarak jauh mampu milik.
Pengiktirafan global ini melengkapkan prestasi cemerlang AirAsia di Anugerah WTA Asia & Oceania pada Oktober lalu, di mana Kumpulan meraih dengan pelbagai gelaran serantau yang melibatkan skala, konsistensi dan momentum yang terus dibina oleh syarikat penerbangan ini merentasi benua. Di seluruh Kumpulan, pencapaian ini membuktikan semangat dan usaha Allstars yang sentiasa meningkatkan operasi syarikat penerbangan serta kesetiaan berterusan kepada para tetamu.
Benyamin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X berkata: “Kami berbesar hati dengan pengiktirafan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Jarak Jauh Terunggul Dunia untuk tahun ketiga berturut-turut dan ia merupakan bukti yang kukuh terhadap dedikasi kami dalam mengekalkan kualiti tinggi AirAsia X dan kepercayaan lebih 50 juta pengembara sejak 2007. Pelancaran laluan baharu ke Tashkent dan Istanbul juga meletakkan AirAsia X pada landasan kukuh untuk fasa pengembangan global seterusnya ke Asia Tengah dan Eropah. Kami komited untuk terus mempertingkatkan pengalaman perjalanan jarak jauh tambang rendah sambil menawarkan lebih banyak destinasi di seluruh dunia untuk tetamu setia kami.”
Suhaila Hassan, Ketua Kru Kabin Kumpulan AirAsia berkata: “Setiap Allstar yang mengenakan pakaian seragam ikonik kami dengan penuh bangga adalah sebahagian daripada pengiktirafan ini. Dedikasi dan profesionalisme mereka dalam memberikan layanan pada setiap penerbangan menjadi faktor penting yang membuatkan para tetamu berasa dialu-alukan dan dihargai. Pencapaian ini bukan sahaja meraikan anugerah tersebut, tetapi turut meraikan semangat, ketabahan dan kecemerlangan yang membentuk identiti kami sebagai satu keluarga AirAsia.”
Graham Cooke, Pengasas dan Presiden World Travel Awards berkata: “Tahniah kepada AirAsia atas kemenangan tiga kali yang luar biasa iaitu ‘Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Dunia’, ‘Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Dunia’ dan ‘Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Jarak Jauh Terkemuka Dunia’. Ketiga-tiga anugerah ini membuktikan komitmen berterusan syarikat dalam menawarkan pengalaman perjalanan bertaraf dunia yang lancar. Dedikasi dan profesionalisme pasukan AirAsia terus menetapkan penanda aras baharu dalam industri penerbangan global.”
Sejak penubuhannya, AirAsia telah menerbangkan hampir satu bilion penumpang dan terus mengubah pengalaman perjalanan melalui rangkaian luasnya yang merangkumi lebih 130 destinasi di Asia, Australia dan seterusnya dan sentiasa memperbaharui perkhidmatannya. Syarikat penerbangan ini dalam persiapan untuk berkembang ke pasaran baharu di Timur Tengah dan Asia Tengah, selaras dengan aspirasi untuk menjadi syarikat penerbangan rangkaian tambang rendah terkemuka di dunia.
Ditubuhkan pada tahun 1993, anugerah World Travel Awards ini diiktiraf sebagai salah satu anugerah paling berprestij, komprehensif dan utama dalam kecemerlangan syarikat merentasi sektor perjalanan, pelancongan dan hospitaliti.