AirAsia RedRun tampil pertama kali di Pulau Pinang dengan lebih 4,000 penyertaan pelari dari seluruh negara

PENANG, 28 September 2025 – AirAsia hari ini telah menganjurkan acara larian iaitu RedRun yang dinanti-nantikan buat pertama kalinya di Pulau Pinang dengan sokongan Penang Global Tourism. Larian ini menarik lebih 4,000 peserta dari seluruh Malaysia, Singapura, Thailand, Vietnam dan rantau lain bertempat di Gurney Plaza. Selepas beberapa edisi yang telah dilakukan di Bali, Surabaya dan di Singapura, Pulau Pinang telah dipilih sebagai destinasi AirAsia RedRun kerana semangat komuniti yang dinamik serta reputasinya sebagai hab pelancongan utama, sekaligus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam siri AirAsia RedRun ini.

AirAsia RedRun di Pulau Pinang menampilkan kategori larian 3KM, 5KM dan 10KM, terbuka kepada peserta dari pelbagai peringkat umur dan tahap kecergasan. Komuniti Pulau Pinang mencatatkan penyertaan terbesar dengan 32% daripada jumlah pelari, diikuti oleh Kedah dan Perak, sekaligus memperkukuhkan sokongan padu dari wilayah utara. Ramai peserta turut datang dari seluruh Malaysia untuk menyertai acara sulung yang dinanti-nantikan ini dengan hampir 28 peratus kehadiran dari destinasi antarabangsa, membuktikan acara ini yang semakin berkembang di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Acara ini turut diraikan dengan kehadiran YB Wong Hon Wai, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Pulau Pinang, bersama Bo Lingam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group dan Amanda Woo, Ketua Pegawai Komersial AirAsia Aviation Group yang bersama-sama merasmikan acara pelepasan bagi kategori larian 10KM.

Edisi RedRun di Pulau Pinang membuktikan usaha berterusan AirAsia dalam menyatukan komuniti sambil menggalakkan gaya hidup sihat di beberapa destinasi yang menarik di rantau ini. Dengan kehadirannya yang semakin berkembang di seluruh Asean dan seterusnya, AirAsia kekal komited untuk memupuk hubungan bukan sahaja melalui perjalanan, malah juga melalui acara gaya hidup.

Amanda Woo, Ketua Pegawai Komersial AirAsia Aviation Group berkata: “Acara RedRun ke Pulau Pinang buat pertama kalinya merupakan satu pencapaian yang sangat bermakna. Sambutan yang mengagumkan dengan penyertaan lebih 4,000 pelari membuktikan semangat komuniti terhadap gaya hidup, kesejahteraan dan kebersamaan. Sebagai jenama tempatan yang terkemuka, AirAsia kekal komited untuk mencipta pengalaman bermakna yang melangkaui perjalanan, menyatukan orang ramai melalui acara yang meraikan gaya hidup dan komuniti. AirAsia bukan sekadar sebuah syarikat penerbangan, tetapi sebuah ekosistem yang menghubungkan orang ramai, destinasi dan minat. AirAsia RedRun juga membuktikan komitmen kami dalam mempromosikan gaya hidup seimbang, sambil mengekalkan nilai teras kami untuk memberi impak bermakna dan meraikan setiap individu.”

Sebahagian daripada siri RedRun, acara ini bukan sahaja menginspirasikan gaya hidup sihat, malah turut bertujuan menarik pelari dari luar untuk merasai pengalaman acara larian ini di pelbagai destinasi dengan memperkukuh sektor pelancongan, memupuk pertukaran budaya serta menampilkan kepelbagaian dinamik menerusi destinasi serantau.

YB Wong Hon Wai, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Pulau Pinang berkata: “Saya ingin mengucapkan tahniah kepada AirAsia kerana berjaya membawa acara RedRun ke Pulau Pinang buat pertama kalinya. Pulau Pinang berbangga menjadi tuan rumah kepada pelbagai acara sukan bertaraf dunia, dengan Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang sebagai acara utama yang menarik ribuan peserta setiap tahun. Dengan sambutan yang luar biasa pada hari ini, saya percaya AirAsia RedRun berpotensi untuk berkembang menjadi satu lagi acara tahunan yang dinanti-nantikan dalam kalendar sukan kami, sekaligus menggalakkan lebih ramai orang mengamalkan gaya hidup sihat sambil menikmati keindahan pelancongan dan semangat komuniti di Pulau Pinang. Kami berharap dapat menyokong lebih banyak inisiatif seperti ini yang bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat tetapi juga terus mempromosikan Pulau Pinang sebagai destinasi utama untuk kesejahteraan dan sektor pelancongan.”

Bagi meraikan pengalaman para peserta, kategori terbuka dan veteran 10KM menawarkan hadiah bernilai lebih RM60,000 termasuk wang tunai, tiket penerbangan, keahlian pusat kecergasan, penginapan hotel serta baucar eksklusif daripada beberapa rakan kongsi. AirAsia RedRun di Pulau Pinang turut dijayakan dengan kerjasama eksklusif iaitu AirAsia MOVE, AirAsia Buds & AirAsia Rewards, AirAsia Ride, Tune Protect, BigPay, Hausboom serta disokong oleh CARiNG Pharmacy, Paris Baguette, Sports Direct, Peak Fitness, GINTELL, Fitness Concept dan banyak lagi.