AirAsia saran para tetamu untuk melengkapkan borang ketibaan “All Indonesia” sebelum tiba di Indonesia bermula 1 September 2025

SEPANG, 10 September 2025 – AirAsia menasihatkan para tetamu antarabangsa yang tiba di Indonesia untuk melengkapkan borang ketibaan “All Indonesia” dalam tempoh tiga (3) hari sebelum ketibaan, sama ada melalui laman web allindonesia.imigrasi.go.id atau aplikasi mudah alih All Indonesia yang boleh dimuat turun melalui App Store (iOS) atau Google Play Store (Android). Ini adalah selaras dengan arahan terkini daripada Direktorat Jeneral Imigrasi Indonesia.

Pengisian borang ini adalah wajib dan para tetamu yang tidak melengkapkannya tidak akan dapat melalui pemeriksaan imigresen sebaik tiba di Indonesia. Keperluan ini menggantikan pengisian borang deklarasi lain, sama ada secara manual atau melalui Deklarasi Kastam Elektronik (Electronic Customs Declaration, ECD) di lapangan terbang. Para tetamu yang telah melengkapkan borang All Indonesia tidak perlu lagi mengisi sebarang dokumen ketibaan tambahan ketika memasuki Indonesia.

Eddy Krismeidi, Ketua Hal Ehwal dan Dasar Indonesia di Indonesia AirAsia berkata: “Pelaksanaan All Indonesia membantu para tetamu menjimatkan masa dan mengelakkan barisan panjang di lapangan terbang di Indonesia. Kami menggalakkan semua tetamu AirAsia untuk melengkapkan borang ini sebelum berlepas bagi memastikan proses ketibaan yang lancar dan mudah”.

Sebagai Sistem Deklarasi Penumpang Bersepadu, All Indonesia menggabungkan pelbagai proses pemeriksaan penumpang antarabangsa termasuk imigresen, kastam, kesihatan dan kuarantin dalam satu platform digital berasaskan laman web dan aplikasi. Dengan melengkapkan borang ini sebelum berlepas, semua data ketibaan akan direkodkan dalam sistem, sekaligus menjadikan proses pemeriksaan lebih cepat, mudah dan lancar.

Bagi para tetamu dengan keperluan khas seperti warga emas, orang kurang upaya (OKU) atau kanak-kanak tanpa iringan, lorong khas (Corridor Gate) akan disediakan dan diintegrasikan secara langsung dengan All Indonesia, bagi memastikan proses ketibaan yang lebih cepat dan selamat.

Borang ini boleh dilengkapkan dalam tempoh tiga hari sebelum ketibaan di Indonesia. Semua tetamu dinasihatkan untuk memastikan maklumat diisi dengan tepat bagi mengelakkan sebarang isu semasa pemeriksaan di lapangan terbang.