AirAsia sertai perarakan di Keretapi Sarong 2025 sempena sambutan Hari Malaysia
KUALA LUMPUR, 13 September 2025 – AirAsia dengan bangganya menyertai ribuan rakyat Malaysia meraikan Hari Malaysia di acara budaya tahunan yang dinanti-nantikan, Keretapi Sarong 2025, anjuran LOCCO Malaysia.
Tahun ini, AirAsia memperkenalkan Desa Serumpun AirAsia, sebuah konsep yang berinspirasikan suasana kampung yang menyatukan komuniti melalui budaya, makanan, muzik serta warisan yang dikongsi bersama. ‘Desa Serumpun’ mencerminkan visi AirAsia terhadap perpaduan dalam kepelbagaian, di mana ‘Desa’ melambangkan komuniti, manakala ‘Serumpun’ mewakili kebersamaan yang menyatukan rakyat Malaysia merentasi budaya dan wilayah.
Lebih daripada sekadar perayaan, konsep ini direka sebagai satu bentuk sambutan di mana orang ramai dapat berkumpul untuk meraikan kebebasan, budaya dan kebersamaan sambil menjadikan setiap perjalanan sebagai ekspresi penuh bermakna tentang erti menjadi rakyat Malaysia.
Syarikat penerbangan itu juga menampilkan pengalaman menyeluruh yang menyerlahkan peranannya sebagai jenama tempatan yang erat kaitannya dengan identiti Malaysia, termasuk persembahanoleh AirAsia FunTeam, trak makanan Santan yang menawarkan citarasa yang tersendiri dalam suasana makanan jalanan, reruai interaktif dengan permainan dan snek zaman kanak-kanak, pemberian barangan eksklusif serta pertandingan dan pemberian tiket penerbangan percuma.
Keretapi Sarong telah berkembang menjadi satu gerakan nasional yang menghimpunkan rakyat Malaysia dalam busana tradisional, menaiki kereta api bersama-sama dalam suasana meriah yang menzahirkan kebanggaan budaya dan semangat inklusif. Penyertaan aktif AirAsia setiap tahun mencerminkan komitmen yang berterusan dalam memperkasakan warisan Malaysia sambil berinteraksi dengan komuniti secara bermakna.