AirAsia teruskan keceriaan Deepavali melalui kempen ‘Shine Brighter Together’, mempererat perpaduan dan memperkasa komuniti

(Keterangan Gambar: Jerry Lok, Ketua Pembangunan Perniagaan di Outclass oleh AirAsia (tengah), bersama penerima Langganan On-Demand Outclass selama 1 tahun yang disampaikan semasa Rumah Terbuka Deepavali anjuran United Malaysian Hindu Voice (UMHV). Inisiatif ini, sebahagian daripada kempen Shine Brighter Together AirAsia, bertujuan memperkasakan individu untuk meningkatkan kemahiran dan membangunkan diri, memupuk pertumbuhan peribadi dan pembangunan komuniti.)

KUALA LUMPUR, 18 November 2024 – Semangat dan keceriaan Deepavali diteruskan dengan pelancaran kempen Shine Brighter Together oleh AirAsia, sebuah inisiatif yang didedikasikan untuk perpaduan, inspirasi, dan perkembangan diri. Melalui kempen ini, AirAsia menghidupkan semangat Deepavali dengan meraikan kekuatan, ketabahan, dan potensi diri yang baharu dalam kalangan komuniti dan pelancong, sejajar dengan komitmen syarikat untuk memperkasa kehidupan serta mengukuhkan jalinan hubungan di seluruh Asean dan seterusnya. Kempen ini memperlihatkan visi AirAsia untuk memperkasa individu dan mencipta impak yang berpanjangan, melangkaui musim perayaan.


Sepanjang musim perayaan, AirAsia menyambut para tetamunya dengan snek tradisional India untuk menyebarkan keceriaan Deepavali. Penerbangan AK 6126 dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang dan Penerbangan D7 182 dari Kuala Lumpur ke New Delhi, para tetamu disajikan dengan laddu dan muruku buatan sendiri, menambah rasa kemeriahan dalam perjalanan mereka. Kru Kabin AirAsia menambahkan pengalaman dengan menyambut pelancong dengan pakaian tradisional India, mencipta suasana yang mesra dan autentik yang membolehkan para tetamu merasai semangat Deepavali dan menikmati perjalanan yang penuh dengan kemeriahan suasana perayaan. Sementara itu, Allstars (kakitangan AirAsia) yang tidak bertugas tampil sebagai sukarelawan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA T2) semasa tempoh perjalanan yang sibuk, memberikan bantuan untuk memastikan perjalanan yang lancar kepada semua pelancong serta menghidupkan semangat perpaduan.


Komitmen AirAsia untuk memperkasa individu melalui pendidikan menjadi sorotan utama dalam kempen Shine Brighter Together. Outclass by AirAsia (dahulunya airasia academy), cabang edutech di bawah Capital A, turut serta dalam perayaan ini dengan menyediakan langganan tajaan kepada rakyat Malaysia, menggalakkan perkembangan diri sejajar dengan semangat pembaharuan Deepavali. Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, Outclass menaja 10 langganan kepada para ahli United Malaysian Hindu Voice (UMHV), memperkukuhkan komitmen terhadap pembangunan diri dan pemerkasaan komuniti. Langganan ini menawarkan akses kepada sumber pembangunan kemahiran yang berharga, menyokong misi UMHV untuk meningkatkan individu dengan alat-alat untuk kemajuan peribadi dan profesional.


Aireen Omar, Presiden (Pelaburan & Usaha Niaga) Capital A dan Pengarah Eksekutif Outclass berkata: “Deepavali adalah masa untuk pembaharuan dan refleksi, memberikan peluang untuk menginspirasi individu untuk melabur dalam pembangunan diri mereka. Di Outclass, kami yakin bahawa pendidikan mempunyai kekuatan untuk memperkasa komuniti, mengubah kehidupan, dan mempersiapkan individu untuk berjaya dalam dunia yang terus berkembang. Pada musim Deepavali ini, kami berbangga dapat menyokong visi AirAsia dalam membina daya tahan di seluruh Asean dengan menggalakkan orang ramai melengkapkan diri mereka dengan kemahiran relevan untuk masa depan yang berteraskan teknologi. Misi kami di Outclass adalah untuk memperkukuh kemahiran tenaga kerja melalui latihan semula dan peningkatan kemahiran, agar mereka lebih bersedia menghadapi cabaran baharu dengan keyakinan dan kemampuan menyesuaikan diri, sekali gus membina komuniti yang lebih kuat dan bersatu padu.”


Tokoh utama dalam kempen Shine Brighter Together tahun ini adalah Naraeshpillai S. Ravendran, seorang Juruterbang Kanan di AirAsia dan pemimpin komuniti yang dihormati di United Malaysian Hindu Voice (UMHV). Bagi Naraesh, Deepavali lebih daripada sekadar perayaan—ia melambangkan ketahanan, perkembangan diri, dan permulaan baru. “Deepavali, bagi saya, adalah hari peringatan untuk kekal tabah dan melihat setiap cabaran sebagai peluang untuk mengembangkan potensi diri,” jelasnya. “Pemikiran ini membentuk peranan saya di AirAsia dan kerja saya dengan UMHV, di mana misi kami adalah untuk membawa cahaya dan sokongan kepada mereka yang memerlukan, membantu mereka merealisasikan potensi mereka.”


Peranan Naraesh sebagai seorang juruterbang kanan dan pemimpin komuniti mencerminkan nilai tanggungjawab, komitmen, dan kepimpinan yang menjadi nilai asas di AirAsia. “Sebagai juruterbang, tanggungjawab yang dipikul amat besar kerana keselamatan dan kesejahteraan penumpang berada dalam tangan kami. Rasa tanggungjawab yang sama inilah yang mendorong saya untuk berkhidmat kepada komuniti, mengingatkan saya tentang betapa pentingnya memperkasa orang lain,” katanya.


Melalui inisiatif bersama UMHV, seperti Achayapatra (bantuan makanan), CHEERS (sokongan kepada kanak-kanak yang memerlukan), dan sambutan Rumah Terbuka Deepavali, Naraesh dan pasukannya membawa harapan dan kegembiraan kepada keluarga yang kurang bernasib baik. Usaha-usaha ini menjiwai semangat Deepavali melalui keprihatinan dan pemerkasaan, menyinari kehidupan mereka yang menghadapi cabaran. “Saat-saat seperti inilah yang mengingatkan kita tentang semangat perpaduan dan perkembangan bersama,” katanya. “Inisiatif sebegini membolehkan kita menghubungkan individu dari pelbagai latar belakang, memupuk rasa kebersamaan dan kekuatan dalam komuniti.”


AirAsia kekal komited untuk menginspirasi dan memperkasakan komuniti jauh melebihi musim perayaan. Rudy Khaw, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia brand co. (Abc.), berkata: “Shine Brighter Together bukan sekadar kempen perayaan; ia melambangkan perjalanan AirAsia dalam memperkasa dan menyatukan komuniti di seluruh Asean. Di AirAsia, kami percaya bahawa pembangunan diri dan pertumbuhan peribadi memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang lebih kuat dan berdaya tahan. Kami ingin menginspirasi setiap individu untuk berkembang, beradaptasi, dan melabur dalam potensi diri mereka. Dengan menggalakkan ketahanan dan memperkukuh semangat keupayaan diri, kami berusaha untuk membina budaya perpaduan dan kemajuan yang melangkaui batas negara. Kempen ini mencerminkan dedikasi AirAsia dalam membawa impak positif dan merealisasikan aspirasi komuniti yang kami sokongi. Seperti yang sering kami ungkapkan, Dare to Dream!”

***TAMAT***