Berikutan aliran tunai yang lebih baik dan prospek perniagaan yang teguh, AirAsia X umum terbitan hak yang lebih kecil

SEPANG, 21 Februari 2022 - AirAsia X (AAX) mengumumkan terbitan hak satu untuk satu dan terbitan khas untuk mengumpul sejumlah RM166 juta. Sebelum ini, AAX telah mendapat kelulusan pemegang saham untuk terbitan hak lebih besar bagi mengumpul sehingga RM300 juta dan terbitan khas RM200 juta sebagai sebahagian daripada skim penstrukturan semulanya.

Terbitan hak satu untuk satu daripada 414 juta saham bernilai RM0.28 sesaham adalah untuk mengumpul RM116 juta dengan terbitan khas bernilai sama untuk mengumpul RM50 juta. Semua kelulusan telah diperolehi untuk pengumpulan dana ini.

Menjelaskan pengurangan dana yang akan dikumpul, Ketua Pegawai Kewangan AirAsia X Andrew Littledale berkata: “Pada awal tahun 2021 kami mempunyai dana tunai sebanyak RM95 juta manakala purata wang tunai yang digunakan dalam 14 bulan terakhir ini adalah kira-kira RM3 juta sebulan. Kami bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dalam beberapa tahun akan datang walaupun tanpa pembukaan semula sempadan antarabangsa, yang mana tidak mungkin akan berlaku. Pengumpulan dana yang lebih besar kini bukan sahaja tidak diperlukan tetapi juga tidak sesuai terutamanya kepada pemegang saham runcit sedia ada yang mungkin tidak dapat membiayai terbitan hak yang lebih besar pada masa yang sukar ini.”

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Benyamin Ismail berkata: “Kami hanya menerbangkan tiga pesawat pada suku yang berakhir pada 31 Disember, seterusnya mengecilkan kerugian operasi kami secara mendadak kepada RM12 juta. Kami juga telah meningkatkan perniagaan kargo selepas kejayaan penstrukturan semula yang telah diundi oleh para pemiutang pada bulan November tahun lepas. Kami menjangka bakal mempunyai tujuh buah pesawat yang akan beroperasi sepenuhnya menjelang akhir suku ini dan semua 11 pesawat berbadan lebar jenis A330 akan mula beroperasi menjelang akhir bulan Oktober 2022. Perbincangan juga sedang diadakan untuk AAX menyewa sekurang-kurangnya empat buah pesawat lagi sebagai persediaan untuk penyambungan semula penerbangan penumpang sepenuhnya apabila sempadan dibuka dengan mensasarkan sekurang-kurangnya 15 buah pesawat A330.”

“Kami telah menggunakan masa henti dalam sektor penerbangan penumpang untuk meningkatkan hasil kargo dan akan terus memacu perkhidmatan ini. Seperti yang diumumkan baru-baru ini, kami kini telah mengukuhkan hubungan kargo secara strategik dengan Teleport dan Geodis pada suku baharu ini dan kami berada dalam peringkat perbincangan dengan lebih pelbagai pembekal logistik global untuk menyokong pelaksanaan strategi penerbangan gabungan kami, di mana perkhidmatan kargo akan menjadi hasil utama dan penumpang sebagai hasil tambahan.”

***

Mengenai AirAsia X - airasiax.com

AirAsia X (AAX) adalah syarikat penerbangan jarak sederhana dan tambang rendah bersama-sama AirAsia Group yang mengendalikan pesawat badan lebar A330-300. Syarikat penerbangan ini bersama sekutunya Thai AirAsia X (TAAX) telah menerbangkan lebih 19 juta tetamu sejak memulakan perkhidmatan pada 2007. Pada 2021, syarikat penerbangan ini berjaya distruktur semula dan kini melancarkan semula perkhidmatan sebagai syarikat penerbangan gabungan yang fokus kepada perkhidmatan kargo dan penumpang dengan bekerjasama pengendali kargo global. Apabila sempadan antarabangsa dibuka semula, AAX bersedia untuk memulakan operasi dalam pasarannya dengan struktur kos yang mungkin paling rendah berbanding mana-mana syarikat penerbangan sepertinya di seluruh dunia.