Capital A melangkah ke fasa akhir dalam membentuk kumpulan penerbangan AirAsia yang lebih kukuh

KUALA LUMPUR, 1 Ogos 2024 – Capital A Berhad (Capital A) telah mengemukakan pekeliling Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) kepada Bursa Malaysia, yang memperincikan cadangan pelupusan keseluruhan kepentingan ekuiti dalam AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL) dan AirAsia Berhad (AAB) kepada AirAsia X (AAX) (Cadangan Pelupusan). Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) ini akan diadakan dalam tempoh 21 hari dari tarikh pekeliling ini dikeluarkan untuk mendapatkan kelulusan pemegang saham terhadap Cadangan Pelupusan.

Langkah penting ini merupakan satu langkah utama dalam membawa Capital A lebih dekat dalam usaha menregularisasikan kedudukan kewangannya dan merupakan sebahagian daripada pelan strategik Capital A untuk memperkemaskan operasinya dan menumpukan kepada bidang khusus yang tambahan kepada perniagaan penerbangan.

Capital A menyasarkan untuk menyelesaikan Cadangan Pelupusan tersebut menjelang Disember, menandakan era baharu bagi kumpulan penerbangan baharu di bawah AAX serta perkhidmatan penerbangan dan perniagaan digital Kumpulan Capital A.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tony Fernandes berkata, “Sudah empat tahun kami berusaha keras untuk mencapai tahap ini, dan kami sangat teruja. Transformasi berterusan kumpulan penerbangan baharu ini membuktikan ketahanan dan visi strategik Capital A. Ini bukan sahaja akan mengubah landskap penerbangan tetapi juga akan memberikan nilai yang luar biasa kepada pemegang saham kami. Mereka akan menerima saham AAX apabila cadangan diluluskan. Ini akan memastikan penyertaan dan manfaat berterusan mereka daripada prospek perniagaan penerbangan, serta memberikan kejelasan pelaburan yang lebih baik antara Capital A dan AAX. Dengan ini, pasaran modal dan pelabur dapat melihat dengan lebih jelas potensi dan prospek setiap entiti.”

"Bo Lingam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Penerbangan AirAsia, berjkata, "Kami telah memasuki fasa baharu dalam perjalanan Kumpulan Penerbangan kami. Dengan model pendapatan tambahan yang kukuh dan inisiatif kewangan yang strategik, kami bersedia untuk bangkit lebih kuat daripada sebelumnya. Kami akan mengaktifkan semula seluruh armada pesawat kami menjelang akhir tahun ini dan menjangkakan tahun 2025 yang penuh dengan peluang. Pertumbuhan yang pesat ini akan disokong oleh pesanan pesawat Airbus LR dan XLR yang bernilai tinggi dan fleksibel. Sasaran kami pada tahun 2025 adalah untuk mengatasi prestasi sebelum pandemik dan terus berinovasi. Kami meramalkan armada kami akan berkembang daripada 221 pesawat kepada lebih daripada 300 pesawat dalam tempoh lima tahun akan datang, membawa lebih daripada 100 juta penumpang setiap tahun."

Dari segi kewangan, berdasarkan kesan pro forma daripada cadangan pelupusan tersebut, dana pemegang saham Capital A akan beralih kepada positif daripada negatif RM8.8 bilion pada 31 Disember 2024, menetapkan penanda aras pertama untuk memperbaiki kedudukan kewangannya, sekaligus membawa syarikat lebih dekat untuk keluar dari status PN17. Selain itu, Capital A telah mencapai kemajuan yang signifikan dalam usaha pengumpulan ekuiti dan hutang, yang dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat. Perniagaan baki Capital A akan terus memberikan sumbangan positif kepada Kumpulan.

***TAMAT***