Capital A peroleh peningkatan taraf prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) selepas pelaksanaan semula strategi kelestarian
SEPANG, 20 Februari 2024 ‒ Capital A disenaraikan di kalangan peneraju utama dalam penarafan kelestarian di peringkat global sejurus pelaksanaan semula strategi kelestariannya. Ia memfokuskan kepada usaha di seluruh kumpulan dalam penilaian risiko dan komunikasi yang lebih efektif dengan pihak berkepentingan.
Pengiktirafan terkini yang diraih oleh kumpulan ini adalah augerah Emas dalam Kelestarian Alam Sekitar oleh Centre for Aviation (CAPA) melalui Laporan Penilaian Prestasi Penerbangan Global CAPA-Envest 2023. AirAsia merupakan salah satu daripada 19 syarikat penerbangan yang menerima penarafan berkenaan berdasarkan prestasi dan usaha kelestarian yang kukuh dalam pada ia terus mengembangkan rangkaiannya selepas pandemik. AirAsia mencatatkan pelepasan gas CO2 ke-11 terendah bagi setiap penumpang dan pelepasan gas CO2 ke-12 terendah bagi setiap tempat duduk menerusi kajian dengan hampir 80 syarikat penerbangan di seluruh dunia.
Selain itu, Kumpulan Bursa Saham London meletakkan Capital A pada tempat ke-15 daripada 124 syarikat penerbangan menerusi penilaian ESG mengikut komitmen dan keberkesanan syarikat merentasi 10 ciri-ciri utama. AirAsia telah meraih mata sebanyak 71 peratus yang tertinggi di kalangan syarikat penerbangan di Asean, dan merupakan antara syarikat penerbangan tambang rendah teratas di dunia.
Pengiktirafan ini sekaligus meningkatkan hasil positif penilaian ESG syarikat yang telah diterbitkan pada akhir tahun 2023 berdasarkan penarafan kelestarian pada tahun 2022. Di Malaysia, penarafan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) Capital A meningkat daripada 2.9 kepada 3.2 daripada 5 mata antara tahun 2020 dan 2022, melangkaui Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia sebanyak 2.9 mata. Asia Aviation yang merupakan syarikat penerbangan Capital A di Thailand juga memperoleh peningkatan penarafan kepada 81 peratus daripada 67 peratus antara kitaran penilaian 2021 dan 2022, menjadikannya antara syarikat AA dalam Penilaian ESG Bursa Saham Thailand.
Pada peringkat antarabangsa, Capital A dinilai dengan dua indeks global bagi syarikat penyenaraian awam dengan pasaran lebih* daripada AS$1 bilion. Capital A memperoleh nilai 40 peratus dalam Penilaian Kelestarian Korporat Global S&P (CSA), daripada 32 peratus pada tahun 2020. Nilai CSA S&P digunakan untuk pemilihan Dow Jones Sustainability Index (DJSI) yang bertujuan untuk mengiktiraf syarikat peneraju ESG.
Pada tahun lepas, Capital A juga telah mengemukakan prestasi tahun 2021 untuk penilaian di bawah Indeks Kesetaraan Gender Bloomberg (GEI) dan memperoleh antara nilai tertinggi. Peningkatan prestasi Capital A adalah berdasarkan rekod peningkatan kakitangan wanita di seluruh jabatan. Pada tahun 2022, golongan wanita telah menyumbang kepada 34.3 peratus daripada keseluruhan kakitangannya dan 32 peratus melibatkan pengurus kanan. AirAsia juga mengekalkan kedudukan sebagai syarikat penerbangan yang mempunyai jumlah juruterbang wanita tertinggi di Asia Tenggara dengan 6.6 peratus melebihi purata syarikat penerbangan global sebanyak 5.8 peratus.
Ketua Pegawai Kelestarian Capital A, Yap Mun Ching berkata: "Pada tahun 2020, kami meningkatkan tumpuan kelestarian Capital A untuk mencapai keseimbangan yang lebih baik terhadap prinsip kelestarian secara keseluruhan. Kami juga aktif melancarkan pelbagai aktiviti kelestarian sebelum tahun 2020 dan menyesuaikan semula usaha kami selepas pandemik. Ini bertepatan dengan tempoh di mana kerangka undang-undang berkaitan perubahan iklim dalam sektor penerbangan mula dititikberatkan.
"Terdapat dua objektif utama kepada strategi kami. Pertama sekali adalah pengurangan kos dan peningkatan kecekapan bagi menguruskan risiko ESG kami. Salah satu bidang yang berhasil dalam pendekatan ini adalah pengukuhan strategi alam sekitar kami. Pada tahun 2021, kami telah menerbitkan rancangan pelepasan karbon sifar bersih oleh AirAsia dan mengenal pasti cara penyahkarbonan. Untuk tahun berikutnya, kami telah mempertingkatkan usaha ini dengan bantuan pemodelan data bagi mengintegrasikan pertimbangan ESG dengan lebih baik ke dalam strategi perniagaan kami secara menyeluruh.
“Objektif kedua adalah komunikasi lebih berkesan. Kelestarian dalam industri penerbangan adalah topik kompleks yang tidak boleh diakses secara mudah. Kami telah berusaha untuk membina pemahaman yang lebih baik di kalangan pembuat dasar, pengawal selia, pelabur, rakan niaga dan kakitangan kami. Kami juga telah mengubah cara melaporkan pencapaian kelestarian dengan menyatakan hasil berdasarkan data. Selain itu, kami telah meningkatkan tadbir urus dengan menubuhkan jawatankuasa kelestarian dalaman termasuk melantik penasihat kelestarian kepada Jawatankuasa Kelestarian Penerbangan, kerana ia penting terhadap perniagaan penerbangan kami."
Langkah yang diambil ini telah diterima dengan baik oleh pihak berkepentingan syarikat. Pada bulan Disember 2023, Kajian Maybank IB mengekalkan saranan BELI untuk saham Capital A berikutan sasaran ESG jangka panjangnya dan laporan yang mengagumkan.
Menerusi laporan terkini untuk prestasi tahun 2023, Capital A dan Asia Aviation (pemegang saham tunggal Thai AirAsia) akan menerbitkan laporan kelestarian secara berasingan untuk memberikan lebih penekanan kepada kelestarian dan menyokong usaha setiap entiti bagi memperkukuh penyampaian dan strategi ESG.
*(Antara tahun 2020 dan 2023, Capital A kekal layak untuk penilaian penanda aras ESG oleh kedua-dua indeks global ini tetapi tidak tersenarai secara rangkuman disebabkan oleh penurunan kapitalisasi pasaran disebabkan oleh pandemik dalam tempoh laporan. Capital A menjangkakan peningkatan lebih lanjut dalam kapitalisasi pasarannya apabila AirAsia kembali beroperasi sepenuhnya pada tahun 2024.)
*Dalam versi asal kenyataan ini, dinyatakan tidak tepat bahawa wanita menyumbang 53.8% daripada semua pekerja. Angka ini hanya merujuk kepada wanita dalam jawatan kepimpinan di Capital A. Pindaan telah dibuat untuk menandakan jumlah jantina di seluruh tenaga kerja Capital A.