Capital A seru pelonggaran lanjut sekatan perjalanan untuk merangsang perjalanan udara dan menyokong pemulihan ekonomi global

SEPANG, 18 April 2022 - Sempena pembukaan semula sempadan dunia secara beransur-ansur seiring dengan kadar vaksinasi yang tinggi, pihak pengurusan Capital A (syarikat induk AirAsia Aviation Group), menyeru kerajaan di seluruh Asia untuk melonggarkan lagi sekatan perjalanan untuk memulihkan ekonomi global.

Presiden Komersial Capital A, Colin Currie berkata: “Sektor pelancongan adalah penyumbang ekonomi utama dan talian hayat bagi negara-negara di Asean. Di Malaysia, sektor pelancongan menyumbang sebanyak 14% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dan sebanyak 23% kepada sektor pekerjaan. Justeru, pemulihan sektor pelancongan adalah penting untuk menyokong kehidupan rakyat.

“Majoriti penduduk dunia kini telah divaksin sepenuhnya dan sebahagian besar juga telah menerima suntikan penggalak. Data di rantau juga menunjukkan bahawa risiko kemasukan ke hospital berkutan Covid-19 bagi mereka yang divaksin sepenuhnya adalah sangat rendah.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan di Asia untuk pembukaan semula sempadan negara masing-masing. Ini adalah langkah pertama yang dialu-alukan untuk memulihkan pertumbuhan ekonomi. Dengan peratusan tinggi penduduk di Asia Tenggara yang divaksin sepenuhnya, kami percaya bahawa sudah tiba masanya untuk mengkaji semula sekatan yang membebankan bagi perjalanan udara, termasuk pelbagai keperluan ujian sebelum berlepas dan semasa ketibaan, kertas kerja yang rumit dan insurans perjalanan Covid yang mahal.”

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited Bo Lingam menyambung: “Amat mendukacitakan apabila sesetengah tambang penerbangan kami lebih rendah daripada ujian RTK-Antigen semasa ketibaan dan ujian RT-PCR sebelum berlepas yang menjadikan kos keseluruhan perjalanan udara membebankan tetamu kami. Keperluan ujian, termasuk bilangan dan jenis ujian yang terlibat, hendaklah sentiasa disemak untuk memastikan keperluan itu kekal relevan, tanpa membebankan para pengembara atau menjejaskan kesihatan awam.

“Satu lagi isu utama yang dihadapi oleh pengembara adalah pelbagai borang tambahan dan syarat kemasukan yang tidak diseragamkan berikutan keperluan yang berbeza oleh setiap negara. Proses ini juga haruslah disemak semula dengan segera kerana ia mungkin menjadi pendua dan mengelirukan pengembara. Selain itu, keperluan insurans perjalanan Covid-19 masih dikenakan oleh banyak negara dan kami ingin memuji Singapura, Kemboja, Australia dan India kerana menghapuskan keperluan ini untuk menarik lebih ramai pelawat ke masing-masing negara.

“Kami juga amat berbesar hati kerana beberapa buah negara seperti Kemboja dan India telah menghapuskan sepenuhnya keperluan ujian dan melonggarkan syarat kemasukan, manakala pengembara ke Thailand, Indonesia, Vietnam, Singapura, Australia dan Filipina hanya perlu menjalani satu ujian Covid-19 sama ada sebelum berlepas atau semasa ketibaan. Malaysia adalah antara sebilangan kecil negara di Asean yang masih memerlukan dua ujian, sebelum berlepas dan semasa ketibaan, yang mana kami berharap akan disemak semula dengan segera oleh kerajaan.

“Perjalanan udara global kini dalam fasa pemulihan. Kami berbesar hati kerana banyak negara telah menjadikan perjalanan lebih mudah dan mesra pelancong. Negara-negara yang berusaha untuk menghapuskan pandemik ini dan bukan menguruskannya, seperti penyakit lain, akan menghadapi risiko kehilangan manfaat ekonomi yang ketara.

“AirAsia akan terus memainkan peranan dalam pemulihan semula ekonomi dengan melihat cara untuk menjadikan perjalanan udara berpatutan dan tanpa kerumitan untuk para tetamu kami, termasuk prosedur tanpa sentuhan sepenuhnya di lapangan terbang dan di udara. Baru-baru ini, kami telah mengumumkan kerjasama dengan penyedia perkhidmatan ujian perubatan terkemuka Medijaya, bagi mempertingkatkan perkhidmatan saringan Covid-19 di Malaysia, dan berharap untuk melancarkannya di destinasi lain tidak lama lagi.

“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan masing-masing, pengawal selia dan pemain industri di seluruh Asia Pasifik dan menghargai sokongan mereka dalam usaha kami untuk mengurangkan kerumitan perjalanan udara, merangsang permintaan perjalanan dan membantu memulihkan ekonomi secara keseluruhan.”