Jenama bebas cukai lapangan terbang terkemuka ERAMAN bekerjasama dengan platform e-dagang OURSHOP

Screenshot 2019-05-09 at 5.30.32 PM.png

Para tetamu kini boleh nikmati pengalaman berbelanja yang mudah dan tanpa tunai melalui ciri ‘Klik dan Ambil’


SEPANG, 9 Mei 2019 - Jenama bebas cukai lapangan terbang terkemuka ERAMAN dan platform e-dagang OURSHOP hari ini mengumumkan kerjasama yang membolehkan para tetamu untuk mengambil produk yang ditempah melalui ourshop.com di lokasi khusus di premis bebas cukai ERAMAN di klia2, terminal kedua Lapangan Terbang Antarabangsa KL.

ERAMAN merupakan jenama peruncit bebas cukai lapangan terbang terbesar di negara ini, yang mengendalikan lebih daripada 50 peruncit dan premis F&B di Kuala Lumpur, Kuching, Kota Kinabalu, Penang, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Lapangan Terbang Labuan manakalaOURSHOP merupakan platform beli-belah dalam talian AirAsia yang menawarkan pelbagai pilihan produk daripada peruncit bebas cukai dan tempatan dari seluruh dunia.

Melalui kerjasama dengan OURSHOP, ERAMAN akan menerima manfaat tambahan seperti akses kepada trend penumpang dan destinasi berlepas dan ketibaan mereka, yang membolehkan jenama tersebut mensasarkan pemasaran dan pemilihan produk yang lebih tepat. Para tetamu yang membeli produk di ourshop.com boleh mengumpul mata ganjaran AirAsia BIG yang boleh digunakan untuk menebus penerbangan percuma di airasia.com. Semakin banyak destinasi yang dikunjungi atau barangan yang dibeli, semakin banyak mata ganjaran yang akan diperolehi, seterusnya mewujudkan nilai kitaran. Selain menikmati kemudahan membeli menggunakan peranti mudah alih, para tetamu juga boleh menikmati ketenangan fikiran apabila membuat pembelian daripada peruncit atau jenama rasmi, sekaligus mengenepikan keraguan mengenai keaslian produk yang secara tradisinya telah menjejaskan sektor e-dagang.

Menurut pengurus besar ERAMAN Zulhikam Ahmad, jenama bebas cukai itu teruja untuk menjadi sebahagian daripada kerjasama dengan syarikat induknya, Malaysia Airports dan OURSHOP untuk menyediakan pengalaman membeli-belah yang lebih baik kepada tetamu. Zulhikam berkata, “Inisiatif ini tepat pada masanya kerana kami baru sahaja melalui fasa penjenamaan semula. Kami sedar sektor e-dagang semakin berkembang dengan pesat dalam ekosistem pasaran runcit dan bebas cukai. Justeru, ERAMAN mengambil langkah ini agar kami juga tidak ketinggalan dalam menyediakan kemudahan dan mengikuti trend terkini.”

Pengurus besar kanan Perkidmatan Komersil Malaysia Airports Mohammad Nazli Abdul Aziz berkata, “Kerjasama antara pemain utama negara dalam industri peruncitan pelancongan akan memupuk keterujaan membeli-belah buat semua pelancong yang melalui pintu keluar/masuk kami. Ini hanyalah salah satu daripada pelbagai lagi aktiviti menarik dan inisiatif kami lakukan di bawah Strategi Penetapan Semula Komersil Malaysia Airports. Kami ingin para tetamu gembira ketika berada di lapangan terbang; dan dengan berbuat demikian, kami berharap dapat mengubah persepsi bahawa lapangan terbang bukan sahaja sebuah hab untuk menghubungkan antara destinasi, malah ia juga sebuah tempat untuk menikmati tawaran beli-belah yang pelbagai - sama ada secara fizikal atau digital.

Pengurus besar OURSHOP Hassan Choudhury berkata bahawa OURSHOP adalah rakan kongsi bagi keseluruhan ekosistem perjalanan udara termasuk lapangan terbang, peruncit, serta syarikat penerbangan, dan platform e-dagang tersebut juga berharap untuk bekerjasama dengan lebih banyak syarikat untuk mengubah pengalaman membeli-belah di lapangan terbang.

“Pengalaman membeli-belah yang kebiasaannya mengambil masa selama 20 minit ketika para tetamu sibuk menuju ke pintu berlepas kini ditawarkan tanpa henti selama 365 hari. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ERAMAN kerana menawarkan pengalaman membeli-belah dalam talian unik ini untuk para tetamu dengan kami. Kami berharap kerjasama ini akan terus berjaya,” kata Choudhury.

*** TAMAT ***

Mengenai OURSHOP

OURSHOP adalah platform e-dagang yang menawarkan pelbagai pilihan produk dari peruncit bebas cukai dan tempatan dari seluruh dunia. Di sini, tetamu boleh menikmati pengalaman membeli-belah dalam talian yang mudah, cepat, dan selamat tanpa beratur panjang dan tergesa-gesa di lapangan terbang. Dengan pelbagai pilihan jenama antarabangsa dan tempatan yang mewah, OURSHOP adalah gedung kepada pelbagai produk yang terdiri daripada fesyen, barangan kemas, kesihatan dan kecantikan, minuman keras, gajet, alat permainan, makanan dan banyak lagi yang ditawarkan pada harga yang kompetitif. Para tetamu boleh memilih untuk menerima barangan mereka di lapangan terbang (semasa ketibaan atau sebelum berlepas) atau dihantar ke tempat duduk mereka ketika menaiki penerbangan AirAsia. Beli-belah tanpa kebimbangan kerana OURSHOP menjamin ketulenan 100% produk daripada jenama dan peruncit terkemuka. Di samping itu, tetamu juga boleh menerima mata ganjaran AirAsia BIG dengan setiap pembelian dibuat, dan juga menebus mata ganjaran AirAsia BIG untuk membayar perbelanjaan mereka.

Mengenai Malaysia Airports (Niaga) Sdn Bhd

Malaysia Airports (Niaga) Sdn Bhd, juga dikenali sebagai ERAMAN, anak syarikat milik Malaysia Airports Holdings Berhad, merupakan pengendali terbesar bebas cukai dan peruncitan pelancongan lapangan terbang di Malaysia. Mengurus lebih daripada 50 buah kedai bebas cukai dan bercukai serta makanan dan minuman di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Kuching, Kota Kinabalu, Pulau Pinang dan Langkawi dan Lapangan Terbang Domestik Labuan. Matlamat kami ialah untuk menjadi pengendali kedai bebas cukai dan peruncitan pelancongan dengan nilai untuk wang yang terbaik di Asia dan menawarkan pengalaman peruncitan yang menarik kepada pelanggan kami.

Mengenai Malaysia Airports

Malaysia Airports merupakan salah satu kumpulan pengendali lapangan terbang terbesar di dunia dari segi jumlah penumpang yang dikendalikan. Ia mengurus dan mengendalikan 39 lapangan terbang di Malaysia dan satu lapangan terbang antarabangsa di Istanbul, Turki. 39 lapangan terbang di Malaysia terdiri daripada lima lapangan terbang antarabangsa, 16 lapangan terbang domestik dan 18 Padang Terbang Pendaratan dan Perlepasan Singkat (STOLports). Lapangan terbang utamanya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL termasuk terminal kedua, klia2 sedang berusaha ke arah menjadi hab ASEAN pilihan. Selama bertahun-tahun, Malaysia Airports dan lapangan terbangnya telah menerima banyak anugerah yang memperakui komitmennya terhadap kecemerlangan dalam pelbagai bidang seperti meningkatkan hubungan dan tahap perkhidmatan, meningkatkan penglibatan pihak berkepentingan dan memastikan tadbir urus yang baik. Malaysia Airports Holdings Berhad disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia).