AirAsia bekerjasama dengan Google Cloud untuk menjadi syarikat perjalanan teknologi

 Ketua Pegawai Eksekutif Google Cloud Diane Greene (tengah), Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia (Digital, Transformasi, Perkhidmatan Korporat) Aireen Omar bersama kru kabin AirAsia di Google Cloud NEXT' 18 di London.

Ketua Pegawai Eksekutif Google Cloud Diane Greene (tengah), Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia (Digital, Transformasi, Perkhidmatan Korporat) Aireen Omar bersama kru kabin AirAsia di Google Cloud NEXT' 18 di London.

LONDON, 10 Oktober 2018 - AirAsia bekerjasama dengan Google Cloud untuk mengintegrasikan pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan (artificial intelligence atau ML/AI) dalam semua aspek perniagaan dan budaya sebagai sebahagian daripada transformasinya untuk menjadi syarikat perjalanan teknologi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata, “AirAsia telah menerajui penggunaan teknologi digital baharu sejak penubuhan kami pada tahun 2001. Kami kini berada di fasa pembangunan seterusnya di mana kami berkembang untuk menjadi lebih daripada syarikat pengangkutan udara dengan mendigitalkan operasi dan prosedur kami supaya lebih cekap.

“Google Cloud membolehkan kami untuk menggunakan sepenuhnya data yang kami miliki, membuka peluang baharu dan membolehkan kami untuk menubuhkan perniagaan baharu. Kami sedang menubuhkan dua platform utama: airasia.com, yang akan menjadi satu platform perjalanan digital di mana para tetamu boleh menempah keperluan perjalanan dari penerbangan, penginapan, lawatan, pengangkutan darat hingga hiburan; dan BigLife, laman gaya hidup kami yang sama seperti Kayak, Tripadvisor, Groupon dan eBay dalam satu. BigLife mengabungkan semua pelaburan digital di bawah aspek digital kami iaitu Redbeat Ventures, seperti aplikasi pembayaran BigPay, sambungan dalam penerbangan kami ROKKI, pasaran dalam talian kami Ourshop dan perkhidmatan logistik kami Redbox dan RedCargo. Kedua-dua platform ini akan membantu dalam memacu lebih banyak perniagaan kepada AirAsia dengan bantuan data.”    

“AirAsia bermula dengan G Suite untuk mengubah cara organisasi mereka berfungsi,” kata Diane Greene, Ketua Pegawai Eksekutif Google Cloud. “Kini, dengan platform analisis dan perkhidmatan pembelajaran mesin yang lebih maju, AirAsia dapat mendigitalkan setiap aspek perniagaan mereka untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada para tetamu.”    

AirAsia akan bekerjasama dengan Google Cloud untuk menyelesaikan cabaran-cabaran utama dalam perniagaan, termasuk:  

  • Memacu peramalan permintaan dengan lebih baik dan pemasaran kepada sasaran yang lebih tepat

  • Memperbaiki pengalaman dan kesetiaan para tetamu dengan memberikan pengalaman yang lebih peribadi kepada para tetamu.

  • Memaksimumkan kecekapan operasi dan mengurangkan risiko melalui ramalan penyelenggaraan, ramalan cuaca secara langsung dan pengoptimuman kakitangan

Kakitangan teknikal AirAsia akan bekerjasama dengan jurutera-jurutera Google Cloud untuk membolehkan mereka menyelesaikan senario perniagaan tertentu serta mempelajari asas AI dengan penggunaan Enjin Pembelajaran Google Cloud seperti Tensor Flow dan Cloud Machine yang terkini. AirAsia juga dapat mendaftar para kakitangan teknikal mereka di dalam program yang digunakan oleh Google Cloud untuk melatih juruteranya, membolehkan syarikat penerbangan itu membina kepakaran dalaman sendiri dalam pembelajaran mesin.      

AirAsia juga akan bekerja rapat dengan Google Cloud untuk mendigitalkan dan mengubah cara kerja dan budayanya dengan penggunaan G Suite dan Chrome Enterprise untuk mewujudkan pengalaman digital yang cekap untuk memberikan akses kepada data dan analisis apabila ia diperlukan untuk membuat keputusan dengan lebih pantas dan tepat.

Untuk melihat pembentangan Tan Sri Tony selanjutnya dalam bagaimana AirAsia akan bekerjasama dengan Google Cloud untuk menjadi sebuah syarikat penerbangan teknologi, sila layari g.co/cloud/nextonair18.