AirAsia kembali terbang dengan semangat yang lebih kuat

AirAsia Malaysia meneruskan operasi penerbangan domestik pada 29 April 2020 selepas tempoh hibernasi selama sebulan. Riad Asmat, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia (dua dari kiri) berada di terminal klia2 bagi memastikan kelancaran operasi.

AirAsia Malaysia meneruskan operasi penerbangan domestik pada 29 April 2020 selepas tempoh hibernasi selama sebulan. Riad Asmat, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia (dua dari kiri) berada di terminal klia2 bagi memastikan kelancaran operasi.

SEPANG, 29 April 2020 - AirAsia menyambung semula penerbangan domestik yang dijadualkan hari ini di Malaysia, dan akan diikuti oleh Thailand (1 Mei 2020), Filipina (16 Mei 2020), dan Indonesia (7 Mei 2020), tertakluk kepada kelulusan oleh kerajaan. Perkhidmatan ini mengikuti peraturan pihak berkuasa dengan kawalan kesihatan yang ketat dan mengamalkan protokol penjarakan sosial. Penyambungan semula penerbangan ini adalah untuk beberapa laluan domestik terpilih, manakala penerbangan ke destinasi antarabangsa akan disambung semula secara berperingkat, apabila keadaan bertambah baik dan sehingga sekatan perjalanan ditarik balik oleh kerajaan.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Datuk Kamarudin Meranun berkata: “Fleksibiliti merupakan kunci model perniagaan kami. Asas yang kukuh dan hubungan erat dengan pembekal dan rakan seperjuangan membolehkan kami kembali terbang dengan semangat yang lebih kuat dalam masa yang mencabar ini. Kami tidak berhasrat untuk menerima pesawat baharu pada tahun ini dan mensasarkan untuk mengakhiri tahun 2020 dengan 242 buah pesawat, kurang sebuah pesawat dari tahun lepas. Keputusan untuk menjual dan menyewa pesawat pada akhir tahun 2018, telah memberikan fleksibiliti yang lebih besar kepada kami untuk mengurangkan pertumbuhan daripada memiliki pesawat baharu pada hari ini. Kami juga telah mendapat harga terbaik untuk pesawat tersebut dalam keadaan pasaran utama sambil menyingkirkan risiko baki dalam memiliki pesawat.

“Kami juga telah menyusun semula sebahagian besar lindung nilai bahan bakar dengan pihak yang menyokong kami dan masih dalam proses untuk menyusun semula baki selebihnya. Strategi ini akan membantu mengatasi kelebihan jumlah lindung nilai berbanding jangkaan penggunaan bahan bakar selepas COVID-19 dan mengurangkan kerugian lindung nilai jika harga bahan bakar tetap pada harga terkini. Selain itu, langkah-langkah dalam mengurus dan membiayai kos termasuk pemotongan gaji pihak pengurusan dan kakitangan kanan Kumpulan AirAsia secara sukarela, merunding kembali kontrak dan menangguh semua perbelajaan yang tidak penting.

“Kami berharap semua inisiatif ini dapat mengurangkan kos sekurang-kurangnya sebanyak 30% pada tahun 2020 berbanding tahun lepas (YoY).”

Mengenai penyambungan semula perkhidmatan, Datuk Kamarudin berkata: “AirAsia bekerjasama secara aktif dengan semua pengawal selia, kerajaan tempatan, pihak berkuasa penerbangan awam dan kesihatan. Kami juga mematuhi panduan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk memastikan standard tertinggi dalam setiap penerbangan. Kami menasihatkan para tetamu untuk memakai topeng muka dan mengamalkan langkah-langkah perlindungan yang disyorkan secara universal termasuk penjarakan sosial dan menjaga kebersihan diri di tahap tertinggi. Semua pesawat kami yang dilengkapi dengan Penapis Udara Kecekapan Tinggi (HEPA) standard hospital juga akan melalui prosedur pembasmian kuman secara menyeluruh selepas setiap penerbangan.

“Kami juga meneruskan usaha mempelbagaikan pendapatan kami dalam situasi terkini, dengan mengembangkan perniagaan digital dan sampingan kami seperti Santan, Teleport dan BigPay. Selain menawarkan perkhidmatan bawa pulang, Santan telah melancarkan perkhidmatan pandu-lalu untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam tempoh kawalan pergerakan dan membantu peniaga kecil melalui inisiatif pemasaran dalam talian menerusi laman web Santan sepanjang bulan Ramadan. Kami juga sedang mengusahakan rangka tindakan untuk memulakan francais Santan pada masa hadapan.

“Sementara itu, Teleport mengutamakan pengangkutan bekalan perubatan untuk barisan hadapan dan responden perubatan kecemasan melalui sejumlah penerbangan sewa khas untuk pengiriman kargo.

“AirAsia juga telah mengambil bahagian dalam penerbangan pemulihan yang disokong oleh kerajaan dan syarikat swasta dalam tempoh ini, seterusnya meningkatkan pendapatan melalui perkhidmatan penerbangan sewa khas.

“Untuk membantu sebanyak mungkin perniagaan tempatan pula, kami telah melancarkan kempen Save Our Shops (S.O.S) yang menawarkan platform e-dagang kami, OURSHOP dengan perkhidmatan penghantaran oleh Teleport. Yayasan AirAsia juga telah melancarkan sumbangan awam digital dengan kerjasama BigPay.

“Masa yang sukar ini tidak mematahkan semangat kami untuk terus bangkit dan berusaha menjadikan jenama kami lebih kuat apabila keadaan pulih nanti. Kami berharap untuk terus mengekalkan lebih 1.3 juta pekerjaan dalam sektor ini di rantau ini, secara langsung dan tidak langsung, serta menggandakan sumbangan ekonomi kami kepada KDNK ASEAN daripada AS$15.3 bilion pada tahun 2018 kepada AS$35 bilion pada tahun 2030.”

95593326_963222790780683_8052287845697585152_n.jpg