Kejayaan penempatan saham swasta AirAsia menunjukkan keteguhan syarikat, potensi digital

Tingkat keyakinan pelabur terhadap pemulihan sektor penerbangan dan pelancongan

SEPANG, 17 Mac 2021 - AirAsia Group Berhad telah berjaya melaksanakan penempatan saham swasta tahap kedua pada 17 Mac yang menambah sejumlah 100,367,362 saham biasa baharu yang diterbitkan, mewakili kira-kira 3% daripada jumlah saham terbitan syarikat pada harga terbitan RM0.865 setiap satu.

Kejayaan ini adalah selepas penempatan tahap pertama berjumlah 11.07% atau 369.85 juta saham yang diterbitkan pada 19 Februari menyaksikan kemunculan pelabur yang berpangkalan di Hong Kong Dr Stanley Choi Chiu Fai sebagai antara pemegang saham terbesar setelah meningkatkan sahamnya kepada 8.96% daripada <5% pada sebelum ini.

Secara keseluruhan, kedua-dua tahap menjadikan saham baharu diterbitkan berjumlah 470.21 juta di bawah pelaksanaan penempatan saham swasta, mewakili 14.07% daripada jumlah saham terbitan AirAsia Group dan berjaya mengumpul RM336.46 juta. Pemegang saham AirAsia Group dan Bursa Malaysia Securities Bhd sebelum ini telah meluluskan pelaksanaan penempatan swasta oleh AirAsia Group sehingga 20% daripada jumlah saham AirAsia Group yang diterbitkan.

Pelaksanaan penempatan saham swasta ini merupakan sebahagian daripada rancangan besar AirAsia Group untuk mengumpul hingga RM2.0 - 2.5 bilion melalui gabungan hutang dan ekuiti untuk membiayai, antara lain, keperluan modal di bawah AirAsia Group.

Antara pelabur-pelabur utama yang menjayakan pelaksanaan penempatan swasta ini termasuklah:

  • Dr. Stanley Choi Chiu Fai - Beliau merupakan Pengerusi Head & Shoulders Financial Group, serta Pengerusi dan Pengarah Eksekutif International Entertainment Corporation (IEC), sebuah syarikat yang tersenarai di papan utama Bursa Saham Hong Kong (1009.HK ). Sila rujuk pengumuman di sini.

  • David Bonderman dan Rakan-Rakan Pelabur dari TPG melabur dalam kapasiti peribadi - David Bonderman adalah Pengasas dan Pengerusi TPG Capital, sebuah firma pelaburan global yang berpangkalan di San Francisco, California dan Fort Worth, Texas dengan aset berjumlah USD85 juta bilion di bawah pengurusannya dan 14 cawangan di seluruh dunia. Beliau juga merupakan sebahagian daripada pemilik Boston Celtics dan pengasas bersama/pemilik pasukan hoki ais Seattle Kraken. Selain itu, beliau adalah Pengerusi Ryanair yang telah berkhidmat selama lebih dari 20 tahun sehingga tahun lalu. Rakan-rakan pelabur dari TPG Asia lain yang melabur dalam kapasiti peribadi adalah Tim Dattels, Ganen Sarvananthan dan Zubin Irani.

  • AIMIA Inc (AIM: CN) adalah sebuah syarikat yang fokus kepada pelaburan jangka panjang dalam syarikat awam dan swasta, secara global, melalui kawalan atau kepentingan minoriti. Syarikat ini menjalankan perniagaan penasihat pelaburan melalui anak syarikat milik penuhnya Mittleman Investment Management, LLC, dan memiliki pelbagai portfolio pelaburan termasuklah saham ekuiti berjumlah 48.9% di PLM Premier, S.A.P.I. de C.V. (PLM) dan pemilik dan pengendali Club Premier, program kesetiaan gabungan yang mengendalikan Program Frequent Flyer Aeroméxico. Syarikat ini juga mempunyai saham ekuiti berjumlah 49.3% di Kognitiv, sebuah syarikat pertumbuhan teknologi bagi perniagaan-ke-perniagaan (B2B) untuk perdagangan secara kolaboratif, selain mempunyai 10.85% kepentingan dalam Clear Media Limited (100.HK), salah satu firma pengiklanan luar terbesar di China, serta saham minoriti dalam portfolio sekuriti syarikat awam.

  • Dana daripada institusi tempatan dan asing yang lain.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Tan Sri Tony Fernandes berkata: “Kejayaan penempatan saham swasta dan sambutan luar biasa oleh pelabur tempatan dan asing yang terkenal adalah bukti keteguhan airasia dan potensi masa depan yang cerah, terutama dengan transformasi kami ke arah perniagaan digital dan data. Kami berbesar hati dengan keyakinan para pelabur terhadap rancangan pemulihan kami dan ini membuktikan kemampuan kami untuk mengumpulkan dana daripada pelabur-pelabur strategik dalam pasaran modal, di dalam dan luar negara.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada para pelabur yang telah menjayakan penempatan saham swasta ini dan kami berharap dapat menjalinkan hubungan jangka panjang dengan mereka. Penempatan ini merupakan bahagian penting daripada keseluruhan usaha pengumpulan dana kami untuk memastikan kecairan sepanjang tahun 2021. Daripada jumlah perolehan kasar, AirAsia akan memperuntukkan dana ini untuk menyokong penyelesaian kos lindung nilai bahan bakar, perbelanjaan kerja umum, pembayaran sewa dan penyelenggaraan pesawat dan untuk membiayai unit perniagaan Digital airasia, airasia super app dan platform teknologi kewangan BigPay.

“Pada skala yang lebih luas, penempatan swasta ini adalah kepercayaan besar terhadap pemulihan industri penerbangan dan pelancongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19. Di airasia, kami mempunyai rancangan kukuh yang akan membolehkan kami bertahan dengan perkhidmatan domestik sehingga sempadan antarabangsa dibuka semula. Kami yakin bahawa pelancaran program vaksinasi di pasaran-pasaran utama kami yang akan memvaksin 40% - 50% penduduk pada suku ketiga tahun ini, pendidikan dan ujian yang lebih baik, sokongan yang kuat untuk gelembung perjalanan percutian di negara dan wilayah yang berisiko rendah, serta dorongan untuk pasport kesihatan digital global akan kembali memacu sektor perjalanan dalam masa terdekat.

“Nilai, pilihan dan inovasi yang hebat adalah tiga tonggak utama jenama airasia dan terdapat banyak lagi produk dan inovasi yang akan datang sempena evolusi airasia super app. Kami mempunyai rancangan untuk melancarkan perkhidmatan e-panggilan tidak lama lagi, selain perkhidmatan teksi udara dan perkhidmatan penghantaran dron pertama di Malaysia untuk melengkapkan transformasi jenama gaya hidup kami, dan menjangka permintaan perjalanan akan meningkat pada masa akan datang, setelah sekatan perjalanan antarabangsa dibuka.

“Dengan pengumuman ini, saya yakin bahawa kami bukan sahaja mempunyai asas dan platform yang tepat untuk pulih lebih cepat daripada pesaing-pesaing kami, malah akan kembali dengan semangat yang lebih kuat.”



Malaysia, News, EnglishM ASepang