Nasihat Perjalanan: Panduan Bagasi Kabin AirAsia untuk Perjalanan Lebih Lancar
SEPANG, 8 Ogos 2024 ‒ AirAsia terus meningkatkan operasinya dengan menawarkan pengalaman perjalanan lebih selesa, selamat dan efisien bagi para tetamu. Sejajar dengan ini, syarikat penerbangan ini mengingatkan para tetamu untuk mematuhi polisi bagasi kabin yang bertujuan menyokong prestasi tepat masa dengan memastikan proses kenaikan dan penurunan pesawat lebih cepat dan lancar serta memberikan akses ruang penyimpanan di dalam kabin untuk semua.
Di bawah polisi ini, setiap tetamu dibenarkan untuk membawa maksimum satu (1) bagasi kabin dan satu (1) beg peribadi kecil di dalam pesawat dengan jumlah berat keseluruhan sebanyak 7kg. Ini adalah termasuk:
Satu (1) Beg Kabin seperti beg troli ATAU beg galas
Saiz maksimum: 56 cm (T) x 36 cm (L) x 23 cm (D).
Beg ini mesti boleh dimuatkan di dalam ruang penyimpanan di dalam kabin pesawat.
Satu (1) Beg Peribadi Kecil seperti beg tangan ATAU beg komputer riba ATAU beg lampin bayi
Saiz maksimum: 40 cm (T) x 30 cm (L) x 10 cm (D).
Beg kecil ini mesti boleh dimuatkan di bawah tempat duduk di hadapan anda kecuali kerusi di barisan hadapan dan kecemasan
Barangan/bagasi yang diikat, dibalut atau dilekat bersama tidak akan dikira sebagai satu bagasi kabin.
Bayi berumur di bawah 2 tahun tidak mempunyai sebarang peruntukan bagasi kabin. Kanak-kanak berumur 2 tahun dan ke atas mempunyai peruntukan bagasi kabin yang sama seperti orang dewasa.
Kereta sorong bayi yang boleh dilipat dan kerusi roda dibenarkan sebagai bagasi kabin sekiranya ia mematuhi polisi bagasi kabin AirAsia.
Semua barangan yang dibeli di lapangan terbang akan menjadi sebahagian daripada peruntukan bagasi kabin. Hanya barangan bebas cukai yang dibungkus di dalam beg plastik kedap udara lut sinar (Security Tamper-Evident Bag) yang bertutup (sehingga ke destinasi terakhir anda) dan disertakan dengan bukti pembelian, dikecualikan daripada peruntukan bagasi kabin dengan syarat barangan tersebut adalah termasuk dalam peruntukan bebas cukai negara destinasi anda.
Bagasi Pintar (Smart Baggage) adalah dibenarkan sebagai bagasi kabin jika bateri bagasi tidak boleh ditanggalkan dan tidak melebihi 0.3g (litium logam) atau 2.7Wh (litium-ion), jumlah berat tidak melebihi had bagasi iaitu sebanyak 7kg dan saiznya adalah di dalam had yang dibenarkan. Jika bateri boleh ditanggalkan, bateri tersebut harus ditanggalkan dan dibawa ke dalam kabin pesawat sebagai bagasi kabin. Tertakluk kepada terma dan syarat lain serta beberapa sekatan tertentu oleh destinasi anda.
Bagasi kabin yang melebihi had berat atau saiz yang dibenarkan mesti didaftar masuk di kaunter daftar masuk di lapangan terbang. Jika bagasi kabin yang berlebihan tidak didaftarkan di kaunter, syarikat penerbangan mungkin perlu mendaftar masuk bagasi tersebut di pintu perlepasan dan caj bagasi mungkin dikenakan.
Pematuhan polisi bagasi kabin ini adalah penting untuk mengelakkan caj tambahan di lapangan terbang dan mengurangkan kesesakan yang menjejaskan pengalaman para tetamu, terutamanya semasa menaiki dan turun dari pesawat. Pematuhan juga membantu mengekalkan keselamatan dan keselesaan perjalanan untuk pengalaman yang lebih lancar bagi semua tetamu.
Untuk maklumat lanjut mengenai polisi bagasi kabin, tonton video di sini.